Bekas wartawan Utusan Melayu, Rosewita Ali, 89 meninggal dunia pagi tadi di kediamannya di Petaling Jaya kerana sakit tua.

Beliau dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Rosewita juga merupakan isteri kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Kamaluddin Muhammad yang lebih dikenali dengan nama pena Keris Mas.

Keris Mas telah meninggal dunia pada tahun 1992.

Beliau yang juga dikenali sebagai Rosewita Buang mungkin tidak dikenali oleh generasi sekarang ini.

Namun, beliau merupakan wartawan wanita terawal yang berkhidmat dengan syarikat Utusan sejak ibu pejabat media tersebut mula bertapak di Singapura hampir lapan dekad lalu.

Ketika hayatnya, Rosewita banyak menjadi pencatit peristiwa besar dalam sejarah masyarakat negara ini.

Antara yang paling diingati adalah ketika beliau menemuramah gadis yang terperangkap dalam kemelut penjagaan dan juga anutan agama iaitu Natrah Hertogh.

Kes Rusuhan Natrah di Singapura menjadi bualan besar sehingga ke hari ini.