Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh hari ini menyatakan kebimbangan berhubung tingginya kes perceraian yang difailkan oleh pasangan kerana faktor remeh.

Beliau berkata berdasarkan Kajian Penduduk Malaysia Kelima yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2014 mendedahkan lebih satu pertiga pasangan bagi usia perkahwinan di bawah usia lima tahun, berakhir dengan perceraian.

Katanya peratusan punca perceraian yang direkodkan bagi lelaki adalah kerana tidak ada persefahaman (56.2 peratus), isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mertua atau ipar (10 peratus).

Manakala wanita pula, soal tiada persefahaman mencatat sebanyak 38 peratus, suami curang (20.5 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

Katanya, berdasarkan data daripada Jabatan Kehakiman Syariah, banyak perceraian yang difailkan pasangan muda terjadi atas faktor yang remeh.

“Antaranya, isteri suka ikuti rombongan, isteri suka basuh baju pada waktu malam, suami tidak suka isteri makan dalam kereta dan berbeza fahaman politik.

“Punca perceraian lain gaji suami rendah, tidur berdengkur, saya bacakan di sini kerana kes penceraian yang sangat serius hanya kerana perkara remeh saja,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar Amin Ahmad.

Pada masa sama beliau berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendedahkan jumlah perceraian di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam ialah sebanyak 2,932 bagi tempoh 2013 hingga 2017.

Bagi orang bukan Islam statisitik daripada Jabatan Pendaftaran Negara JPN menunjukkan 14,440 kes peceraian melibatkan perkahwinan di bawah usia lima tahun.

Katanya, data tersebut adalah bagi tiga buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi bukan Islam, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu dengan 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,721) kes dan Selangor 1,858 kes.

Tambahnya bagi orang Islam, jumlah kes penceraian dari negeri lain masih di peringkat pengumpulan.