Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tersebar ketika ini perlu dijelaskan dengan bahasa mudah.

Dalam satu temuramah dengan Berita Harian, beliau menyifatkan khalayak berada dalam situasi yang sukar kerana pihak yang memberi penjelasan sendiri tidak memahami isu sebenar, dan wujud pula sesetengah pihak yang memanipulasi perkara tersebut.

"Soalnya tidak semua orang faham mengenai isu ini, kita harus menggunakan 'layman language' sebabnya kita terjebak dalam permainan politik pihak pembangkang,"

"Ada orang yang menjelaskan isu ini, sebenarnya dia juga tidak faham, bagaimana dia mahu memberi kefahaman kepada orang lain, sedangkan dia tidak faham?"

"Maka penjelasan harus dilakukan dengan bahasa yang mudah," tegas Ahmad Zahid.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyifatkan isu 1MDB umpama isu yang datang dan pergi seperti isu Bank Dunia, dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini.

Beliau menyatakan selaku bekas orang korporat, beliau melihat 1MDB sebagai sebuah entiti yang 'bankable' (diterima oleh bank) kerana ada 'collateral' (cagaran) seperti aset tanah dan saham.

Namun beliau berkata isunya 1MDB adalah sebuah syarikat berbayar dengan hanya RM1 juta tetapi entiti itu membuat pinjaman yang tinggi.

"Masalah 1MDB adalah masalah aliran tunai sekarang. Unjuran pendapatan masa depannya itu ada, jadi apa sebenarnya permasalahan yang timbul?"

"1MDB tidak pakai duit kerajaan dan peruntukan kerajaan, 1MDB menggunakan pinjaman bank, ada perjanjian antara peminjam dan si pemberi pinjaman, jadi dalam perkara ini sudah tentu ada pembayaran semula dan jadual pembayaran yang harus dibuat," kata Ahmad Zahid.

Zahid juga menyatakan keyakinannya isu 1MDB akan berakhir satu hari nanti.

"Saya yakin, jika forensik perakaunan dibuat, ia akan dapat mendedahkan kemampuan mereka membayar semula berdasarkan aset yang ada dalam 1MDB," katanya.