Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Nur Jazlan Mohamed mengelak untuk menjawab soalan mengenai 1MDB termasuk isu derma dalam akaun peribadi Perdana Menteri kerana menyifatkan tidak lagi memegang jawatan penting itu.

Ia berikutan sebarang komen mengenai isu itu adalah tidak sesuai kerana beliau kini anggota Eksekutif dan tiada lagi kaitan dengan jawatankuasa itu.

"Saya bukan lagi Pengerusi PAC untuk komen, tak molek kalau saya komen pasal hal PAC yang terletak di bawah parlimen dalam peranan saya sebagai Timbalan Menteri yang terletak di bawah eksekutif," katanya semasa sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun wartawan tetap berkali-kali cuba bertanyakan kepada beliau mengenai isu siasatan 1MDB. Beliau menjawab: "Saya ulang sekali lagi saya anggota eksekutif. Saya tidak boleh komen perkara-perkara di bawah parlimen."

Ditanya sama ada sebagai sebagai Ahli Parlimen, beliau kecewa siasatan oleh PAC ke atas 1MDB terpaksa ditangguhkan, katanya itu terpulang kepada pengerusi dan jawatankuasa baru.

"Namun, saya akan buat kajian mengenai pendapat rakyat mengenai isu ini," jelasnya.