Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu permohonan penyusunan semula agihan kuota benih padi sah bagi menampung keperluan pesawah di Perak sudah diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata kelulusan tersebut diperoleh selepas pihaknya menghantar permohonan penyusunan semula kuota tambahan sebanyak 2,500 tan benih padi kepada MOF.

“Kami sudah mendapat keputusan tersebut, sudah beres. Kami menunaikan janji kami (We walk the talk) untuk selesaikan isu ini.

“Kami menghadapi masalah tersebut kerana terdapat permintaan saat akhir.

“Ada dalam kalangan pesawah di beberapa kawasan yang pada mulanya, tidak mahu menanam tetapi selepas itu, mereka ingin tanam pula," kata Salahuddin kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Countdown Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK2019) di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Rabu.

Beliau juga yakin bahawa isu ketiadaan bekalan benih sah itu tidak akan berlaku lagi.

Pada Khamis lepas, Salahuddin berkata pihaknya mengambil maklum tentang isu kegagalan sebanyak 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak memulakan musim penanaman padi disebabkan tidak mendapat bekalan benih padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Beliau juga menyatakan komitmennya dalam menyelesaikan masalah tersebut kerana ia berupaya menjejaskan kadar pengeluaran hasil padi negara ini.