Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid nafi mengeluarkan kenyataan cadangan penggantungan pelajar yang didapati bersalah dalam kes buli perlu dibuat selama setahun.

Sebaliknya apa yang dimaksudkan beliau dalam cadangan sebelum ini adalah hukuman gantung sekolah dilakukan mengikut tahun kejadian.

"Misalnya dia dijatuhkan hukuman (gantung sekolah) pada Jun, bukan Jun 2016 hingga Jun 2017. Maknanya dia kena hukum ikut tahun kejadian. Tahun depan Januari dia sudah boleh pergi sekolah. Orang awam tidak faham, mereka ingat setahun," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian berusaha untuk tidak mengambil tindakan memberhentikan pelajar yang melakukan kesalahan buli kerana pelbagai maklum balas yang diterima daripada orang ramai.

"Sebagai contoh kalau kita gantung dia selama lima bulan, apa dia kena buat? Mungkin kena pergi motivasi dekat Sekolah Henry Gurney atau dia kena duduk dekat Sekolah Vokasional," kata beliau lagi.

Ditanya mengenai keberkesanan langkah penggantungan pelajar susulan isu buli di sekolah, katanya itu sahaja bentuk hukuman yang ada setakat ini.

BACA: Cadangan pembuli digantung sekolah setahun - Mahdzir Khalid

"Ramai orang kata tidak berkesan. Saya fikir yang itu (hukuman gantung sekolah) sahaja yang ada setakat ini. Banyak kes (buli) sekarang ini, bukan libatkan lelaki sahaja perempuan juga," ujarnya.

Mahdzir sebelum ini berkata kementerian bersedia untuk mendapat maklum balas daripada semua pihak terhadap cadangan berkenaan dan sekiranya cadangan itu dipersetujui, kementerian mungkin akan melaksanakannya pada Januari tahun hadapan.