Susulan laporan mengenai penemuan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam dua produk Cadbury, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan perkara itu kepada mereka terlebih dahulu.

Gesaan tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dalam satu temubual bersama akhbar Mingguan Malaysia.

Menurut Othman, JAKIM dan KKM perlu duduk berbincang sebelum membuat sebarang pengumuman.

“Isu ini kecoh apabila maklumat keputusan ujian makmal KKM dibocorkan melalui media sosial pada 23 Mei lalu. Kuasa yang diberikan kepada makmal itu adalah memastikan bahan dalam sesuatu produk sama dengan yang tercatat pada bungkusan.

"Apabila dilaporkan ada DNA babi, masyarakat sudah tidak tuju kepada KKM tetapi kepada JAKIM sedangkan kami tidak dilaporkan mengenai penemuan itu.

“Pada 24 Mei Ketua Pengarah Kesihatan mengesahkan penemuan itu dan pada hari sama saya adakan mesyuarat serta mengambil keputusan menggantung pengesahan halal dua produk itu sehingga siasatan siap dilakukan,” kata Othman.

Menurut Othman, sijil halal telah diberikan kepada Cadbury sejak 2004 dan kali terakhir pemeriksaan dijalankan ke atas syarikat itu adalah pada 20 Februari lalu di mana Cadbury masih patuh kepada sijil halal.

Apabila ditanya mengapa tiada penyelarasan antara JAKIM dan KKM, beliau berkata KKM perlu menjawab soalan itu sendiri.

“Kita baru terima laporan pada Khamis dan itu pun tidak lengkap. Macam mana hendak buat kerana kita hanya tahu pada 23 Mei lalu,” tambahnya.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pensijilan halal JAKIM, syarikat yang ingin membuat permohonan perlu berbuat demikian menerusi sistem e-halal dan mengisytihar semua bahan ramuan.

Seterusnya Jabatan Kimia akan menjalankan ujian ke atas semua produk tersebut kerana ia merupakan satu-satunya jabatan yang diberikan akreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Manual pensijilan halal juga menetapkan hanya ujian oleh Jabatan Kimia digunapakai untuk pensijilan halal dan pendakwaan di mahkamah.

“Sebab itu kita buat ujian semula. Jabatan Standard Malaysia hanya memberikan akreditasi untuk memproses makanan berasaskan daging dan susu kepada KKM.

“Sekiranya ada pihak membuat tuntutan mahkamah, kerajaan akan pakai ujian oleh Jabatan Kimia sahaja. Malah KKM perlu merujuk kepada Jabatan Kimia untuk ujian semula,” Othman menambah.

Tambah beliau, sampel produk Cadbury yang diambil oleh KKM yang menunjukkan wujudnya DNA babi merupakan sampel yang diambil di pasaran dimana menurut beliau sampel yang hendak diuji mestilah diambil dari kilang.

“Proses mengambil sampel ini perlu dibuat mengikut peraturan ketat. Hanya orang tertentu yang dilantik JAKIM boleh mengambil sampel dan ia mestilah diambil dari kilang, bukan di tengah jalan atau kedai kerana kita tidak tahu apa yang berlaku diluar sana,” katanya.

Menurut Othman, laporan ujian makmal oleh Jabatan Kimia dijangka diketahui pada Rabu ini.

Pada 24 Mei KKM mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan seterusnya pihak JAKIM menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk tersebut.

Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd dalam kenyataan berasingan pada Isnin lepas berkata syarikat itu telah menarik balik dua produk berkenaan dengan serta-merta.