Isu cukai pelancongan: Tak perlulah dipanjangkan, kata Abdul Karim

Isu cukai pelancongan: Tak perlulah dipanjangkan, kata Abdul Karim
ABDUL KARIM: "Saya tidak kecil hati, tapi kalau nak kata saya baru dalam politik tak tahu apa-apa..., tak tepat juga kerana saya pun dah empat penggal jadi wakil rakyat." - Foto Bernama
KUCHING: Tak perlulah dipanjangkan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengenai beliau semalam.

Katanya, beliau memang akui Nazri sebagai ''orang lama'' dalam arena politik negara, dan beliau sendiri (Karim) sama seperti orang lain sentiasa dalam proses pembelajaran sepanjang masa.
"Saya tidak kecil hati, tapi kalau nak kata saya baru dalam politik tak tahu apa-apa..., tak tepat juga kerana saya pun dah empat penggal jadi wakil rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya beliau cuma berharap agar Nazri sentiasa berhati-hati semasa bercakap, sebolehnya janganlah menyinggung hati sesiapa, dan jagalah sama perasaan orang lain, apa lagi di bulan puasa ini.

Beberapa portal media melaporkan semalam Nazri menyelar kenyataan Abdul Karim minggu lepas yang menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksaaan cukai pelancongan di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu tersebut akan membawa impak negatif kepada industri pelancongan negeri.

Antara yang dipetik portal berkenaan adalah kata-kata seperti ''baru setahun jagung jadi menteri'' dan ''samseng''.

-- BERNAMA