Isu pembelian rumah melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan berbincang untuk memastikan mereka dapat membeli rumah di tanah air.

“Pihak kerajaan, saya tidak tahu berkenaan perkara ini, bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri tidak boleh membeli rumah di Malaysia.

“Ini bukanlah dasar kerajaan, mungkin pihak bank atau mereka yang menguruskan hal ini yang membuat keputusan sendiri.

“Oleh kerana itu, saya akan balik dan beritahu Kabinet untuk menentukan mereka yang bekerja di luar negeri juga boleh membeli rumah di Malaysia dengan syarat-syarat yang dikenakan kepada ditentukan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi dialog bersama diaspora Malaysia di Azerbaijan pada Sabtu.

Ia sebagai respon kepada pertanyaan seorang rakyat Malaysia yang memaklumkan berdepan masalah untuk membuat pinjaman kereta dan membeli rumah walaupun mempunyai dokumen lengkap.