Seorang pemain badminton kebangsaan telah digantung sementara setelah hasil Sampel B urinnya didapati positif dexamethasone.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima surat yang mengesahkan keputusan ujian berkenaan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 7 November.

Walaupun laporan media sebelum ini mendedahkan identiti pemain badminton berkenaan sebagai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, namun BAM masih enggan mendedahkan nama pemain berkenaan.

"Kami dimaklumkan seterusnya oleh BWF bahawa perkara ini akan dirujuk kepada ‘BWF Doping Hearing Panel’ dan mengikut proses yang ditetapkan oleh panel tersebut.

"Oleh sedemikian, kami tidak dibenarkan menyatakan nama pemain yang terlibat,” kata pengerusi Jawatankuasa Kerja Anti Doping BAM Datuk Norza Zakaria pada sidang akhbar petang tadi.

Norza juga berkata bahawa pemain itu menafikan ada mengambil bahan berkenaan.

Pihak Majlis BAM turut bersetuju untuk menyediakan segala aspek yang perlu untuk membantu atlet terbabit.

"BAM akan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi menangani hal ini dan peguam dilantik, Mike Morgan dari Morgan Sports Law LLP merupakan pakar dalam undang-undang sukan yang akan turut membantu dalam menangani isu ini,” jelas beliau.

Menyifatkan pemain badminton itu sebagai “seorang yang dedikasi dan luar biasa,” Norza berkata pemain itu kini mengalami tekanan dan berharap semua pihak boleh memberikan sokongan kepada beliau.

Menurut laporan Astro ARENA, Chong Wei meminta semua pihak memberinya masa dan begitu juga dengan kerjasama daripada pihak media.

Dia mengakui begitu tertekan sejak dikaitkan dengan isu doping ini, dan sehubungan itu berharap pihak Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dapat membantunya mengenal pasti dari mana punca bahan terlarang itu.

"Saya telah beraksi sebagai pemain nombor satu dunia dalam 100 hingga 200 pertarungan dan tidak pernah diuji positif. Inilah kali pertama saya diuji positif.

"Saya yakin telah bekerja keras untuk menang," katanya kepada Astro ARENA.

"Saya nak balik ke gelanggang. Semua orang risau dan percayakan saya. Saya harap Khairy membantu saya.

"Sudah sebulan saya tidak pernah tertekan seperti ini. Saya harap isu ini diselesaikan dengan segera." tambahnya lagi.