Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, dan memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh SIS, pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim, selaras dengan Perkara 121A Perlembagaan Persekutuan.

"Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-undang Syariah. Pada pendapat saya, isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-undang Syariah dan merupakan bidang kuasa eksklusif di bawah Mahkamah Syariah," katanya.

Nordin berkata mahkamah juga mendapati keputusan dalam pengeluaran fatwa bertarikh 17 Julai 2014 dan diwartakan pada 31 Julai 2014 tidak dicemari dengan tindakan yang menyalahi undang-undang dan kekadaran.

"Justeru, pemohonan ini ditolak dengan kos RM10,000," katanya.

Hakim itu berkata Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Tiada tempoh masa untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Syariah tetapi dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan," katanya.

Mengenai isu yang dibangkitkan oleh SIS bahawa sebagai sebuah pertubuhan, pihak berkuasa agama negeri tidak mempunyai kuasa terhadap mereka, Nordin bagaimanapun tidak bersetuju dengan hujah kumpulan itu.

"Pertubuhan dan pengarah SIS Forum adalah beragama Islam dan aktiviti mereka mempunyai kaitan dengan undang-undang Islam, (oleh itu) fatwa itu terpakai," katanya, dan menambah, syarikat itu tidak boleh kebal daripada fatwa berkenaan.

Pada 25 Sept 2018, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum memerintahkan supaya saman itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk keputusan dalam isu bidang kuasa dan merit.

Hakim Malanjum berkata semua pihak boleh mengemukakan hujahan mereka berhubung isu bidang kuasa di peringkat Mahkamah Tinggi untuk menjimatkan masa.

Mahkamah Persekutuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Mac 2017, yang membenarkan rayuan SIS untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan Negeri Selangor yang merupakan responden dalam permohonan itu, memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 24 Jun 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan SIS, pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng, setelah memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu berkaitan fatwa.

Pada 31 Okt 2014, SIS Forum (Malaysia), Zainah dan Zaid memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai 'company limited by guarantee' tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

-- BERNAMA