"MCA jangan hendak ugut UMNO, jangan sengaja hendak panaskan keadaan, hukum hudud hanya libatkan orang Islam," tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Tegasnya, MCA diingatkan tidak besar kepala dan bersikap seperti pepatah 'Seperti kadok naik junjung.'

Katanya, jika hanya untuk meraih sokongan pengundi Cina ternyata ugutan MCA itu silap kerana UMNO tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk tekanan.

"Hudud adalah untuk orang Islam, tidak ada kena mengena dengan MCA, Gerakan atau MIC, ini hak umat Islam, orang Melayu beragama Islam," tegasnya.

Katanya, UMNO tidak ada masalah dengan ugutan tersebut jika ianya berasaskan kepada hukum hudud.

"Hari ini MCA ugut UMNO, rentak mereka seperti DAP, parti perkauman," katanya sambil menegaskan Presiden MCA dituntut memberikan penjelasan berhubung ugutan tersebut.

Syed Ali mengulas ugutan yang dibuat oleh seorang pemimpin MCA, Gan Peng Sieu yang merupakan pengerusi pasukan petugas khas MCA mengenai pelaksanaan dasar dan undang-undang syariah, seperti dilaporkan portal berita malaysiakini.com.

Peng Siew dipetik sebagai berkata, MCA mesti memutuskan hubungan dengan UMNO jika parti itu menyokong langkah kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Katanya, jika UMNO menyokong rang undang-undang itu di peringkat persekutuan atau Parlimen, maka ia telah melanggar asas fundamental negara, pembinaan bangsa dan kontrak sosial.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Peng Siew berkata jika perlu mengatakannya, beliau akan menggesa parti-parti komponen lain untuk juga berpisah dengan UMNO.

Secara peribadi kata Syed Ali, dia menyambut baik langkah UMNO Kelantan yang turut menyokong rang undang-undang dibentang oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Tambahnya, UMNO sebagai parti terbesar kepada orang Melayu tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menentang pelaksanaan hukum yang terkandung dalam ajaran Islam.

"Jika MCA berasakan sudah cukup kuat, tiada halangan untuk mereka berpisah dengan UMNO, parti yang mewakili sebahagian besar orang Melayu," tegasnya.

"Kalau sudah besar kepala, silakan, tetapi jangan nak hasut rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Syed Ali turut mengingatkan komponen BN itu supaya tidak mengikut rentak DAP yang menentang keras cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya, MCA tidak sepatutnya membuat ancaman dan ugutan untuk berpisah dengan UMNO jika menyokong langkah kerajaan Kelantan laksanakan hukum hudud.

"MCA kena faham, hudud bukan agenda politik, ini bab hukum-hakam ajaran Islam, hak penganut Islam," tegasnya.

Selaku rakan komponen BN katanya, MCA seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada UMNO secara berhemah.

"Tindakan mengugut untuk berpisah dengan UMNO sebagai tidak matang dan hanya boleh mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Bagaimanapun Syed Ali menegaskan, UMNO tidak gentar dengan ugutan tersebut.

"UMNO akan mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak termasuk MCA memperlekehkannya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata Presiden MCA didesak supaya memberikan penjelasan berhubung kenyataan tersebut.

"Ugutan yang dibuat sesama rakan komponen dalam BN amat serius dan Presiden MCA perlu bertanggungjawab," tegasnya.

Menurutnya, MCA sepatutnya menghormati prinsip UMNO yang merupakan parti terbesar orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Syed Ali juga menyifatkan Peng Siew sebagai cuba menghasut rakan-rakan komponen supaya berpisah dengan UMNO.

"Mengapa nak heret parti lain pula, kalau MCA dah besar kepala, silakan berbuat demikian," tegasnya.