Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya wujud pihak yang ingin mengambil peluang dalam pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Malah, beliau mempersoal bagaimana seseorang yang tidak pernah mengerjakan umrah diberi tanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam pelaksanaan sistem itu.

BACA: Batal IMAMS: Bukan sebab pegawai bukan Islam - Nazri Aziz

BACA: Isu IMAMS: 'Biarlah Tabung Haji yang uruskan' - PPIM


Beliau sekali gus menafikan dakwaan kononnya tindakan pembatalan sistem itu oleh Kerajaan dibuat atas unsur politik.

"Pembatalan itu dibuat setelah ada protes di mana bukan hanya daripada syarikat-syarikat pengendali pelancongan dan umrah, malah daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pemuda UMNO selain individu seperti para ulama yang merasakan IMAMS ini tidak perlu dilantik.

"Saya tidak fikir ada unsur-unsur politik dalam perkara ini tetapi saya menghidu bau yang kurang mengenakkan hidung.

BACA: Pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dibatalkan

"Jika ada yang mengambil peluang terutama apabila CEO yang tidak pernah mengerjakan umrah untuk menjadi CEO (sistem pelaksanaan umrah) dan saya fikir kaedah ini tidak sepatutnya berlaku.

"Saya amat simpati dengan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat dan terpaksa buat keputusan dan akhirnya dibatalkan oleh Ketua Setiausaha MOTAC sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan akan memanggil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet Pelancongan untuk mencari mekanisme terbaik dalam menangani isu penipuan pakej umrah.

Tambah beliau, Kabinet juga tidak dimaklumkan berkenaan pelaksanaan sistem IMAMS termasuk menyerahkan pengendaliannya kepada syarikat swasta.

BACA: PAPUH bantah pelaksanaan IMAMS

"Kabinet telah dimaklumkan tetapi tidak melalui sistem IMAMS. Sebaliknya melalui sistem supaya syarikat-syarikat pengendalian, pakej umrah ini didaftarkan dan peraturan serta kaedah pemantauan dilaksanakan supaya mereka yang sertai pakej umrah ini tidak dimangsakan.

"Ia tidak ada kaitan langsung dalam pelantikan mana-mana syarikat yang kendalikan sistem pemantauan ini apatah lagi ia tidak melibatkan penyumberan luar (outsource)," jelasnya.