Tutup

Isu Jawi: Umpama diberi betis mahu telan sampai kepala - Hadi

Isu Jawi: Umpama diberi betis mahu telan sampai kepala - Hadi
Abdul Hadi dalam hantaran itu juga menyentuh tentang sikap sabar yang ada batasannya sambil memberi jaminan bahawa Pas akan kekal istiqamah dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diajar agama, dan diterima semua agama.
SHAH ALAM: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan pihak tertentu yang menolak pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular umpama  ... 'diberi betis hendakkan paha'.

Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, beliau berkata, bantahan dibuat ibarat mahu membunuh bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa dan menenggelamkan bangsa dengan teori ‘Malaysian Malaysia’
“laksana diberi betis mahukan paha, atau perangai buaya yang ganas menangkap betis mahu menelan mangsanya sampai kepala.
"Akhirnya bukan sekadar diberi betis hendak paha, bahkan naik ke atas kepala dan mahu menelan seluruh badan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, usaha untuk mengembalikan Bahasa Melayu sendiri adalah hak yang wajib dilakukan mengambil contoh kebangkitan Jepun dengan bahasa dan tulisannya sendiri, begitu juga China, Korea dan kini Iran dengan Bahasa Parsi yang berhuruf Arab (Parsi seperti tulisan Jawi juga).
“Usaha untuk mengembalikan penyebaran bahasa kebangsaan ini tidaklah mengharamkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, atau menghalang pembelajaran bahasa lain, seperti yang dilakukan di negara lain khususnya negara jiran.

“Maka apakah yang hendak disifatkan atau dinamakan kepada kalangan yang cuba membantah atau menghalang, mahupun memperkecilkan usaha negara yang telah pun mengamalkan konsep masyarakat majmuk dalam kontrak sosial atau Perlembagaan, melainkan sifat pengkhianat yang melampaui batas manusia yang beradab,” katanya.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, semua pihak wajib menolak dan menentang golongan yang disifatkan sebagai makhluk perosak kerana dibimbangi menjadi ‘api yang kecilnya menjadi kawan dan besarnya menjadi lawan’ jika dibiarkan berleluasa.

“Adakah kita masih tidak peka dan sedar dengan mereka yang masih tidak kenyang dengan penguasaan ekonomi secara rakus sehingga majoriti rakyat Melayu dan Bumiputera menganggur, papa kedana, tekanan kos sara hidup, dan hidup menumpang mereka yang tidak mengenang budi itu.

“Kita juga menghadapi permainan ekonomi yang sentiasa tidak adil dan bertimbang rasa, kerana konsepnya siapa yang cepat menipu dan paling mahal rasuahnya maka dia dapat,”katanya.

Abdul Hadi dalam hantaran itu juga menyentuh tentang sikap sabar yang ada batasannya sambil memberi jaminan bahawa Pas akan kekal istiqamah dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diajar agama, dan diterima semua agama.

“Ketahuilah bahawa kesabaran itu ada batasnya. Apabila sabarnya tidak berbatas, maka hilang jati diri dan tidak menjadi manusia yang dimuliakan dengan akalnya.

“Begitulah juga mereka yang diam membisu menyaksikan kemungkaran ini, laksana tikus berada dalam kepuk padi atau semut dalam gula, sehingga hilang ciri manusiawinya,”katanya.

Rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pembelajaran Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular mendapat tentangan oleh masyarakat bukan Melayu.

Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebelum ini mendakwa pengenalan Jawi di SRJK sebagai satu langkah 'Islamisasi' walaupun dinafikan KPM.

KPM kemudian mengumumkan pembelajaran tersebut dilaksanakan secara pilihan di sekolah vernakular.

Terbaru, kerajaan memutuskan pengajaran Jawi hanya akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.