Aktivis Hong Kong Joshua Wong yang dihantar pulang selepas tiba di Pulau Pinang pada Selasa mengakui terkejut dengan tanggapan bahawa seorang pelajar boleh menjejaskan hubungan Malaysia dan China.

Joshua dalam satu sidang media melalui Skype dari Hong Kong menjawab kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berkata ucapan beliau akan mempunyai unsur anti-China dan sekali gus boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

"Kalau ini benar, maka Malaysia perlu berfikir semula tentang isu ini. Bagaimana seorang pelajar seperti saya boleh menjejaskan hubungan Malaysia-China. Ini juga menunjukkan hubungan Malaysia dan China belum kukuh lagi," katanya.

Joshua berkata akan berucap tentang Revolusi Payung dan perjuangan demokrasi di Hong Kong dan tidak mempunyai kaitan dengan senario politik di Malaysia.

BACA: Joshua Wong dihalang masuk ke Malaysia

“Saya tidak boleh lakukan apa-apa sekarang. Ini semua berlaku di luar jangkaan saya,” katanya.

Joshua tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada Selasa, namun ditahan sebaik sahaja tiba dan pengawai Imigresen Malaysia telah menghantar beliau pulang ke Hong Kong.

“Saya tidak ada bukti bahawa kerajaan Malaysia telah menerima senarai hitam dari pihak berkuasa Hong Kong. Namun saya percaya pihak berkuasa Hong Kong mempunyai senarai – terutamanya para aktivis – dan senarai ini telah diberi kepada pihak China.

“Sebelum ini, beberapa aktivis Hong Kong juga tidak dibenarkan masuk ke China,” katanya kepada pemberita.

Apabila diminta untuk mengulas tentang situasi apabila beliau tiba di Hong Kong, Joshua berkata tidak menerima sebarang gangguan dari pihak berkuasa Hong Kong.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Solidarity for Civil Rights in China, Pemuda KLSCAH, Universiti Malaya New Youth dan Teoh Beng Hock Trust for Democracy meminta pihak berkuasa Malaysia untuk memberi penjelasan secara terbuka sama ada terdapat tekanan kuasa asing yang menyebabkan sekatan kemasukan Joshua.

“Khalid mengakui demi kesan hubungan Malaysia-China telah melarang kemasukkan Joshua, maka kami mengesyaki bahawa kekuatan diplomatik China turut terlibat,” kata mereka dalam satu kenyataan media.

Mereka turut mengutuk larangan terhadap Joshua atas alasan keselamatan negara.

“Jika berbanding dengan organisasi penggganas, ekstremis, penjenayah yang menculik pelancong, bagaimanakah pelajar Hong Kong yang tidak bersenjata ini berkemungkinan membahayakan keselamatan negara,” kata kumpulan itu.

Joshua sebelum ini dijadualkan berucap mengenai gerakan pro-demokrasi dan Bantahan Dataran Tiananmen 1989 di beberapa forum seluruh Malaysia.

Aktivis pelajar berusia 18 tahun itu merupakan watak penting dalam protes ‘Umbrella Revolution’ di Hong Kong pada September tahun lalu.