Isu kebakaran perkampungan atas air di Sabah perlu dilihat secara holistik

Isu kebakaran perkampungan atas air di Sabah perlu dilihat secara holistik
Kira-kira 150 buah rumah terlibat dalam kebakaran besar di Kampung Cenderamata 2, Likas, pada 26 Julai lalu. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Isu kebakaran perkampungan atas air di Sabah perlu dilihat secara holistik oleh semua pihak bagi mengelakkan tragedi berkenaan terus berlarutan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Nordin Pauzi.

Beliau berkata isu berkenaan perlu dilihat secara keseluruhan merangkumi dasar pemilikan tanah atau hak persempadanan, kebenaran dan kawalan pembangunan, kewujudan kemudahan asas seperti elektrik dan air, termasuk keperluan keselamatan kebakaran.

"Adalah kurang wajar sekiranya permasalahan kebakaran di perkampungan atas air ini terus dipikul secara sendirian oleh JBPM Sabah kerana isu ini merangkumi semua pihak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian kebakaran yang memusnahkan kira-kira 150 buah rumah di perkampungan atas air di Kampung Cenderamata Dua, Likas, dekat sini, Selasa lepas.

Mengulas lanjut, Nordin berkata walaupun pembinaan rumah di perkampungan atas air di seluruh Sabah tidak dirujuk untuk mendapat ulasan aspek keselamatan kebakaran daripada JBPM, namun ia tidak mengurangkan sedikit pun peranan bomba khususnya ketika operasi pemadaman apabila berlakunya bencana kebakaran.

"Dalam sesuatu perancangan pembangunan, peranan JBPM sepatutnya bermula lebih awal iaitu peringkat kajian reka bentuk bangunan, namun perkara ini tidak berlaku bagi pembangunan atau pembinaan rumah di perkampungan atas air.

"Setakat ini, keperluan keselamatan kebakaran untuk pembinaan rumah milik peribadi di perkampungan atas air di Sabah tidak termaktub dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984. Oleh itu, tidak wujud sistem yang jelas untuk mengawal atau mengehadkan pembinaan rumah-rumah tersebut khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran," tambahnya.

Nordin berkata tidak ada pengkelasan secara khusus ke atas perkampungan atas air dan penempatan setinggan di Sabah, namun daripada perspektif JBPM Sabah, perkampungan atas air berkenaan boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis.

"Yang pertama adalah perkampungan air tradisi yang mempunyai pemilikan tanah yang sah dan dihuni oleh warganegara, perkampungan air yang dibina secara haram atau setinggan dan perkampungan air yang wujud secara bersama iaitu atas pemilikan tapak yang sah bersama dengan pembinaan setinggan secara haram.

"Sudah semestinya setiap klasifikasi berkenaan memberi implikasi faktor yang berbeza. Oleh itu kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkenaan secara bersepadu perlu dilakukan segera," katanya.

Beliau berkata masalah kebakaran di perkampungan atas air boleh dielakkan bermula daripada program bersepadu yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kebanyakan kawasan penempatan setinggan ini telah diduduki secara haram atau tanah kerajaan yang diceroboh. Usaha pelbagai pihak diperlukan untuk mendaftar penduduk dan mengawal pembinaan rumah secara haram.

"Usaha bersepadu kerajaan untuk menyusun semula penempatan setinggan dengan menyediakan kemudahan penginapan melalui pelbagai program seperti Program Perumahan rakyat yang lebih baik diyakini mampu menyelasaikan isu perkampungan setinggan," katanya.

-- BERNAMA