Tutup

Isu kecurian air tidak benar, hanya salah faham

Isu kecurian air tidak benar, hanya salah faham
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (kanan) memberi penjelasan berhubung salah faham diantara pihak berkaitan dalam isu kecurian air. - Astro AWANI
KUANTAN: Isu curi air oleh syarikat Alliance Steel yang beroperasi di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dekat Gebeng di sini sebenarnya tidak benar, sebaliknya hanyalah disebabkan kekeliruan dan salah faham antara pihak yang terbabit.

Jurucakap Syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Jason Ng Kau berkata, isu sebelum ini timbul hanya disebabkan kekeliruan dan salah faham terhadap perjanjian antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN) dan pihak syarikat. 
"Namun isu ini sudah selesai setelah pihak kami mendapat penerangan daripada pihak SPAN dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). Masalah ini sebenarnya berpunca daripada kekeliruan antara pihak kami dan kerajaan negeri sebelum ini.

"Saya akui mereka (SPAN) ada datang ke sini (MCKIP) pertengahan Mac lalu. Pada ketika itu, kita ada masalah bekalan air  sebab saiz paip yang perlu dipasang adalah 600 milimeter (mm), sedangkan saiz paip yang ada ketika itu hanyalah 300 mm sahaja.
"Jadi kami perlu tempah paip yang disyaratkan oleh SPAN dari Jerman dan kita harap ia dapat sampai tidak lama lagi,” katanya ketika sidang media di Hotel Rocana, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dan ADUN Semambu, Lee Chean Chung.

Astro AWANI sebelum ini pernah melaporkan mengenai sebuah kilang asing yang terletak di dalam MCKIP yang dikesan mencuri air buat kali kedua selepas tidak sampai seminggu kerja pemotongan dan penyitaan dilakukan oleh SPAN.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Bahagian Pengurusan Korporat SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya yang membuat pemeriksaan mendapati kilang berkenaan membuat  sekali lagi penyambungan paip secara haram.

Sementara itu, Jason berkata, pihaknya sudah menerima surat rasmi mengenai perkara terbabit daripada pihak SPAN dan mereka sudah membenarkan penggunaan paip sedia ada.

“Pihak SPAN juga telah beri masa dua bulan kepada  untuk memasang paip 600mm bagi tujuan penyaluran bekalan air ke kawasan operasi kami," katanya.

Menyentuh mengenai kegagalan Alliance Steel membayar bil air dan pampasan kepada SPAN, Jason berkata, perkara itu sudah diselesaikan hujung minggu lalu.

"Kami sudah bayar bil berjumlah RM513,474.70 pada 18 Mei lalu dan sehari sebelum itu, Alliance Steel juga melangsaikan 10 peratus waiver ditetapkan SPAN berjumlah RM610,560.

"Kami tidak pernah berniat untuk melanggar apa juga peraturan dan undang-undang di negara ini, kami juga memberikan kerjasama baik kepada semua pihak, sepanjang proses membabitkan SPAN dan PAIP sejak awal tahun ini dan sehinggalah isu ini selesai," katanya.