Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyatakan sokongan penuhnya kepada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berani membuat kritikan berhubung isu pemberian kontrak.

Mukhriz berkata tindakan membincangkan isu pemberian kontrak secara umum adalah tidak sesuai malah dilihat melanggar integriti dan aspirasi parti tersebut.

"Saya rasa tidak tepat dan tidak sesuai bagi mana-mana kepimpinan yang mencadangkan untuk menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk tujuan memberi kontrak. Itu bukan tanggungjawab kita, malah ia telah melanggar harapan yang diberikan masa kita hendak tubuhkan parti dan kerajaan Pakaran Harapan.

"Sebab itu saya menyokong kenyataan Armada mengenai pentingnya integriti dalam pentadbiran parti," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan mengenai desakan beberapa ketua-ketua bahagian Bersatu yang mahu menyingkir Syed Saddiq berhubung kritikan yang dibuatnya sebelum ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2 di, Putrajaya baru-baru ini menegur perwakilan supaya tidak membincangkan isu pemberian kontrak secara umum yang dilihat boleh menggugat parti, selain melahirkan rasa kecewa berikutan soal integriti terpaksa menjadi topik ucapannya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gesaan supaya Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman melepaskan jawatan rentetan kenyataannya mengenai pemberian kontrak tersebut, Mukhriz berkata perkara itu tidak perlu dipolemikkan kerana ia bukan pendirian parti.

"Kenyataan itu dibuat oleh satu individu sahaja jadi kita tidak boleh cakap itu dasar parti. Pendirian parti adalah berdasarkan integriti," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata Bersatu juga akan cuba mengelakkan 'budaya UMNO' masuk ke dalam parti itu dan komitmen itu disuarakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menyatakan bahawa mana-mana pemimpin UMNO yang menyertai parti itu tidak diberikan jawatan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Kita tidak mahu ada budaya lama dan amalan tidak baik yang melemahkan dan jejaskan parti (Bersatu). Kita akan elak perkara itu tapi dalam masa yang sama kita sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan," katanya.

Terdahulu, Mukhriz menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pelatih Program 'Future Leaders' 2019 yang bertujuan untuk mencungkil dan melahirkan bakat di kalangan mahasiswa untuk menjadi pemimpin muda yang berkaliber.

-- BERNAMA