Tiada halangan untuk pihak polis menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan perkauman.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak polis sekiranya mempunyai asas tertentu.

"Kita tidak kira dia menteri atau orang biasa, itu terserah kepada pihak polis. Polis boleh siasat sama ada tindakan yang dilakukan adalah wajar atau sebaliknya, tidak semestinya seseorang itu bersalah," katanya selepas meninjau situasi di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengapa pihak berkuasa masih belum ambil tindakan terhadap Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau, sedangkan polis telah menahan pengendali laman blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.