Isu berkaitan minyak dan gas di Sarawak hanya akan dibincangkan secara eksklusif antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menganggap ia sebagai satu yang istimewa, Abang Johari berkata, isu itu (minyak dan gas) tidak akan dibincangkan Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Isu minyak dan gas hanya dibincangkan Tun M, saya sendiri dan Mohd Shafie," katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Abang Johari turut mengesahkan Jawatankuasa Pemandu MA63 masih lagi berbincang beberapa isu berbangkit.

Dalam pada itu, status Mahkamah Tinggi Borneo akan dikekalkan sebagai badan kehakiman undang-undang di Sarawak.

Keputusan itu hasil persetujuan yang dicapai dalam perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 yang sedang berjalan.

Malah, 14 isu masih dibincangkan dalam pertemuan Tun Mahathir, Abang Johari dan Mohd Shafie.

"Mereka bersetuju secara prinsipnya bahawa Mahkamah Borneo kemudian Mahkamah Tinggi Malaya dikekalkan. Kita tunggu jawatankuasa teknikal bincang hal-hal lain yang saya sasarkan (diketahui) Oktober depan," katanya.