Tutup

ISU MUET: Tiada niat membelakangkan Bahasa Kebangsaan - Muhyiddin

ISU MUET: Tiada niat membelakangkan Bahasa Kebangsaan - Muhyiddin
MUHYIDDIN: Tiada niat untuk membelakangkan Bahasa Kebangsaan dalam usaha memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar IPTA. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak pernah berniat untuk membelakangkan Bahasa Kebangsaan dalam usaha memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini, ketika menjawab soalan yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen.
Ini adalah susulan keputusan kerajaan menaikkan had minimum kemasukan ke universiti dan syarat graduasi MUET yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, usaha ini adalah semata-mata untuk memastikan graduan IPTA mampu memenuhi permintaan dan kehendak pasaran kerja di peringkat nasional atau antarabangsa.
“Namun, perlu ditegaskan di sini bahawa Kementerian tidak pernah berniat untuk membelakangkan Bahasa Kebangsaan dalam usaha untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris” katanya.

Dalam menjawab pertanyaan ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad mengenai kesediaan IPTA dalam melaksanakan tanggungjawab baru itu, Muhyiddin berkata pihak universiti diberi kelonggaran untuk menerima kemasukan pelajar pada tahun ini.

“Oleh kerana oleh kerana tahun ini adalah tahun pertama pelaksanaan, maka pihak univeriti diberi kelonggaran untuk menerima kemasukan pelajar, selagi ianya memenuhi syarat am kemasukan ke IPTA” katanya.

Muhyiddin turut berkata, Pusat Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Inggeris atau jabatan-jabatan yang telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program bahasa Inggeris akan terus diperkasa. 

“Organisasi ini akan bertindak sebagai pusat pengajaran, pembelajaran, perundingan, latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan bahasa Inggeris termasuk bahasa, kesusasteraan dan komunikasi.

Selain itu, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) juga akan diperluaskan peranannya sebagai pusat latihan kepimpinan untuk tenaga pengajar bahasa Inggeris di IPTA.

Ini untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program pemerkasaan bahasa Inggeris di IPTA yang dilaksanakan mencapai matlamat yang ditetapkan” jelasnya.

Katanya lagi, pihak universiti perlu mengambil langkah-langkah tertentu supaya para pelajar IPTA terus dibimbing dan diberi peluang untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran berbahasa Inggeris dengan:-

i) Meningkatkan pencapaian MUET mereka dengan menghadiri kursus-kursus kemahiran bahasa Inggeris yang bersesuaian.

ii) Menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di dalam sesi tutorial, pembentangan kertas kerja serta pembentangan kertas projek tahun akhir dan lain-lain sesi pembelajaran tidak formal.

iii) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum di dalam bahasa Inggeris seperti melaksanakan minggu/bulan bahasa Inggeris, English Language Camp serta beberapa program lain yang dilaksanakan oleh persatuan-persatuan pelajar dari semasa ke semasa.

iv) Meningkatkan kesedaran akan kepentingan untuk menguasai bahasa Inggeris melalui pelaksanaan program-program yang dirancang dan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak IPTA.

Kata Muhyiddin, sebagai langkah untuk memantapkan proses pembelajaran dan pengajaran MUET di peringkat pra-universiti, satu Jawatankuasa Hala Tuju MUET telah ditubuhkan pada 7 Ogos lalu bertujuan agar kualiti dan standard MUET berada pada tahap yang setara dengan Common European Framework Of Reference For Languages (CEFR).

“Di bawah Anjakan Ke-2, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,  kecekapan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid akan terus dipertingkatkan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011. Ini adalah untuk memastikan pelaksanaan wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang tahun 2016 dapat direalisasikan” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan penguasaan guru Bahasa Inggeris, program pemantapan tahap pengajaran Bahasa Inggeris (Profesional Upskilling of English Language Teachers atau Pro-ELT) telah dilaksanakan melibatkan 5,010 orang guru (kumpulan pertama) pada tahun 2013.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 76.4 peratus telah berjaya meningkatkan tahap profisiensi mereka sekurang-kurangnya satu band. Pada masa ini, seramai 9,002 orang guru sedang menjalani kursus berkenaan yang dijangka menamatkan latihan pada April 2015. Manakala, 10,000 orang guru lagi akan dapat dilatih secara berperingkat sehingga April 2016” kata Muhyiddin.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2015 mengumumkan bermula sesi akademik 2015/2016 untuk Program Ijazah Sarjana Muda, tahap minimum Band MUET bagi kemasukan ke IPTA akan ditingkatkan seperti berikut:

(i) Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 2
(ii)   Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) - Band 3
(iii) Pengajian Undang-undang dan Perubatan - Band 4

Manakala syarat minimum bergraduat telah ditetapkan seperti berikut:

(i) Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 3
(ii) Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) - Band 4
(iii) Pengajian Undang-undang dan Perubatan- Band 5

Pengajian STEM adalah merangkumi bidang Sains Tulen, Sains Teknologi Maklumat, Kejuruteraan, Geosains, Sains Hayat, Sains Matematik, Fizik, Astronomi, manakala Sains Sosial pula seperti Antropologi, Ekonomi, Psikologi dan Sosiologi.