Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu tidak melihat isu pemberian tender Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai satu bentuk serangan politik kepada Nafas mahupun Amanah.

Sebaliknya beliau berkata, isu yang mengaitkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub itu perlu dilihat dari sudut yang lebih positif iaitu usaha beliau membantu golongan peladang di negara ini.

Jelasnya, Salahuddin sebagai menteri, beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan membantu Nafas yang dianggotai peladang terdiri daripada pelbagai kaum.

Jesteru katanya 'serangan' tersebut secara tidak langsung menaikkan imej menteri terlibat kerana beliau amat prihatin dengan nasib peladang malah serangan itu juga memberi kekuatan kepada beliau.

"Tidak ada serangan bermotifkan politik itu (isu tender Nafas tersebut). Isu itu hanya akan menaikkan imej Menteri Pertanian, kerana dia ambil berat isu peladang. 'Serangan' itu yang memberi kekuatan kepada Menteri Pertanian bagaimana dia peduli untuk memberi pulangan balik nanti kepada peladang itu sendiri," ujar beliau.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 di Pulau Pinang di Bayan Baru, pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Presiden MCA, Wee Ka Siong yang mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Nafas, yang melibatkan peruntukan RM1.4 bilion.

Pada Jumaat, Salahuddin memaklumkan urusan pemberian tender MOA kepada Nafas masih belum dimuktamadkan.

Salahuddin menegaskan bahawa proses itu telah dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan yang tetapkan dan tidak berlaku skandal seperti didakwa.

Tambahnya, apa yang dilakukan dalam kementerian adalah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menimbang serta memperjuangkan nasib peladang dan petani.

Beliau turut mengaku ada menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon lantikan terus kepada Nafas pada 7 November lalu namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan

Presiden MCA, Wee Ka Siong sebelum ini mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Nafas, yang melibatkan peruntukan RM1.4 bilion.

Wee juga mendakwa projek itu diberi secara rundingan terus walaupun tewas dalam persaingan tender terbuka.

Dakwanya, terdapat suatu surat bertarikh 7 Nov 2019 daripada seorang menteri kepada perdana menteri memohon melantik Nafas secara rundingan terus bagi tempoh 3 tahun dari 2020 hingga 2022.