Selepas memberi tempoh masa selama 24 jam untuk memohon maaf, Biro Pelajaran Pemuda UMNO Malaysia kini akan mengambil tindakan untuk mengheret Pang Ah Ngang ke muka pengadilan.

Ahli jemaah pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Pang Ah Ngang yang telah memaksa seorang guru Muslim Cina membuka tudung masih berdiam diri sehingga sekarang selepas digesa untuk memohon maaf kepada umat Islam Malaysia semalam.

Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Malaysia, Rafiq Naizamohideen hari ini berkata, pihak beliau akan bekerjasama dengan pihak Pemuda UMNO Johor untuk menyelesaikan isu ini.

"Tindakan pertama yang kita akan ambil adalah menawarkan khidmat guaman kepada guru Muslim Cina tersebut untuk mendapatkan keadilan di mahkamah," kata Rafiq.

Beliau menambah, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap Guru Besar sekolah tersebut atas sebab gagal untuk memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia.

"Seterusnya, selewat-lewatnya pada Isnin ini kami akan mengeluarkan surat rasmi untuk dihantar kepada Kementerian Pelajaran untuk menggesa pihak kementerian memecat Guru Besar sekolah terbabit.

"Beliau (Guru Besar) telah gagal untuk mengambil tindakan terhadao ahli jemaah sekolah itu (Pang Ah Ngang) seolah-olah beliau merestui tindakan tersebut.," tegasnya.

Semalam, Rafiq telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Biro Pelajaran Pemuda UMNO Malaysia memberi tempoh 24 jam bagi Pang membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Turut mengeluarkan kenyataan semalam berkenaan isu ini adalah Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (PPUNJ) serta Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor yang menggesa tindakan diambil ke atas Pang.