Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mendapat maklumat sepenuhnya berhubung dakwaan dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata demikian susulan kenyataan SPRM bahawa tiada sebarang transaksi dikesan dalam akaun Parti Islam Semalaysia (Pas).

"Itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kata, SPRM mungkin belum dapat maklumat sepenuhnya," kata Dr Mahathir.

Ujarnya, ia sama seperti kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ia mengambil masa. Setakat ini banyak kecurian duit oleh Datuk Seri Najib yang SPRM tidak mempunyai masa untuk selidik.


"Ini tidak bermakna Datuk Seri Najib tidak curi, cuma tidak diselidik. Kita tunggulah benar ataupun tidak," katanya lagi.

Pada Ahad, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan tiada transaksi berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikesan dalam akaun rasmi PAS setakat ini.

Sejak awal Februari, beberapa pemimpin tertinggi PAS telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM.

Ia selepas kertas siasatan dibuka susulan dakwaan ada pemimpin parti itu menerima sejumlah wang dipercayai sebagai dorongan menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.