Isu 'PM Tepi': Usahawan online risau strategi niaga kena 'sailang'

Isu 'PM Tepi': Usahawan online risau strategi niaga kena 'sailang'
Ramai peniaga online risau dengan perbuatan cantas perniagaan dengan langkah penguatkuasaan KPDKK - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Ramai peniaga atas talian risau dengan perbuatan mengambil kesempatan yang 'mencantas strategi perniagaan' dengan langkah penguatkuasaan supaya memaparkan harga barangan yang dijual dan maklumat produk dengan jelas oleh bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengarah Teknologi Maklumat, Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM), Abdullah Abdul Rashid berkata, ada kemungkinan berlakunya sistem penguatkuasaan yang kurang telus mampu memberi kesan kepada usahawan atas talian.

"Sesetengah usahawan atas talian kurang selesa dengan pelaksanaan ini memandangkan ada antara mereka sudah melabur dalam beberapa sistem.

"Ini juga termasuk beberapa sesi latihan pemasaran yang menjadikan amalan 'PM jika berminat' sebagai salah satu strategi pemasaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada Khamis, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin menggariskan, penjual atas talian perlu memaparkan lapan maklumat penting pada setiap produk yang diiklankan.

Maklumat tersebut merangkumi:
1. Harga penuh barangan/perkhidmatan – termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran.
2. Nama penuh perniagaan dan individu yang menjalankan perniagaan
3. Nombor pendaftaran perniagaan.
4. Alamat penuh, nombor telefon dan emel perniagaan.
5. Maklumat penuh produk apa yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan yang diberikan.
6. Maklumat bayaran yang lengkap.
7. Terma dan syarat jual beli.
8. Anggaran tempoh masa produk akan dihantar.

Dalam pada itu, Abdullah melihat tindakan itu sebagai cabaran walaupun ada dakwaan yang menganggapnya sebagai masalah.

Tambahnya berniaga di platform atas talian memerlukan strategi yang anjal kepada sebarang perubahan.

"Mahu atau tidak, usahawan atas talian terpaksa mengubah cara bagi menyesuaikan diri dengan pemasaran yang memenuhi keperluan perundangan sedia ada," katanya.

Tindakan KPDNKK adalah sebagai usaha melindungi pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Peniaga yang gagal memaparkan kelapan-lapan perkara di atas boleh didenda sebanyak RM50,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. sekiranya disabit kesalahan.

Pengguna pada masa sama turut boleh melaporkan kedai atas talian yang gagal mematuhi peraturan di atas dengan menghubungi talian 1-800-886-800.