Isu 'pretzel dog': Status halal, haram bergantung kepada kandungan - Nik Abduh

Isu 'pretzel dog': Status halal, haram bergantung kepada kandungan - Nik Abduh
Nik Abduh mengulas mengenai isu sijil halal restoran Auntie Anne's terhadap menu makanan yang dikenali sebagai 'pretzel dog'. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Status halal atau haram sesuatu makanan adalah bukan pada nama tetapi kandungan makanan terbabit.

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan bahawa sesebuah syarikat makanan juga perlu mengelak daripada kekeliruan apabila menamakan produk mereka.

Beliau mengulas mengenai isu sijil halal restoran Auntie Anne's terhadap menu makanan yang dikenali sebagai 'pretzel dog'.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini menyarankan Auntie Anne's menukar nama makanan itu kepada ‘pretzel sausage’ untuk memudahkan memperoleh sijil halal.

"Mungkin dia bukan isu nama. Halal atau haram ini bukan pada nama, nak beri nama apa pun boleh asalkan isi dia halal. Cuma kewajipan sesebuah syarikat makanan itu adalah dia perlu mendapatkan sijil halal dan jangan bagi nama yang boleh mewujudkan kekeliruan.

"Mungkin kalau betul tindakan JAKIM itu ia adalah bagi mengatasi masalah kekeliruan jadi syarikat terbabit perlu merujuk kepada JAKIM untuk mendapatkan kepastian," katanya ketika ditemui pemberita di luar ruang lobi parlimen.

Ditanya sama nama 'hot dog' mengelirukan umat Islam, ujarnya nama berkenaan sudah dikenali ramai justeru tidak menimbulkan isu.

"(Perkataan) 'hot dog' ini orang sudah kenal lama dah... nanti saya pergi makan di kedai itu lah," katanya.