Isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail akan dibentang pada mesyuarat kabinet bulan depan untuk diputuskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, sekiranya projek itu dibatalkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar pampasan berjumlah lebih RM150 juta kepada pemaju.

"Ia adalah satu jumlah yang agak tinggi untuk membayar pampasan itu...oleh kerana penduduk masih lagi membantah, akhirnya saya akan letakkan keputusan itu bagi Kabinet untuk putuskan.

"Saya perlu menyediakan kertas laporan dan menyerahkannya kepada Kabinet yang akan membuat keputusan kemungkinan pada April," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perumahan Ku Bersih 2019 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, hari ini.

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, DBKL hari ini memperkenalkan 'Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa' bagi mengatasi masalah penghuni yang mempunyai tunggakan sewa di kawasan Perumahan Awam (PA) dan PPR.

Khalid berkata DBKL akan melantik penghuni yang tidak mampu membayar sewa di kawasan perumahan mereka sebagai pekerja kebersihan dengan hasil pendapatan akan disalur terus kepada DBKL bagi menyelesaikan sewa semasa dan yang tertunggak sebulan sebelumnya.

"Seramai 281 penghuni di PA dan PPR berstatus pekerja kebersihan dengan seramai 107 lagi dikenal pasti mempunyai sewa tertunggak. Jadi sekiranya mereka betul-betul tidak mampu bayar sewa, boleh jadi pekerja kebersihan dengan pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,300 sebulan," katanya.

Sehingga 31 Jan 2019, sebanyak 25,872 unit PA dan PPR mempunyai tunggakan sewa dengan jumlah keseluruhan bernilai RM25.76 juta meliputi sewaan bermula dari RM95 hingga RM135. -- Bernama