Tutup

Isu projek RTS: Sultan Johor berkenan serah tanah Bukit Chagar tanpa kos

Isu projek RTS: Sultan Johor berkenan serah tanah Bukit Chagar tanpa kos
Baginda Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan tanah Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa sebarang kos demi kepentingan rakyat. -Gambar fail
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa dengan laporan berita mengaitkan Baginda berhubung peningkatan kos projek pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura yang didakwa berpunca daripada sebidang tanah milik Baginda di Bukit Chagar.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata sehingga kenyataan yang dikeluarkan pihak istana mengenai perkara ini, Baginda tidak dimaklumkan tanah miliknya akan terlibat dalam projek berkenaan.
"Namun begitu Sultan Ibrahim telah bertitah sekiranya benar tanah milik Baginda di Bukit Chagar terlibat dalam projek ini, maka Baginda berkenan menyerahkan tanah itu kepada kerajaan tanpa sebarang kos demi kepentingan rakyat.

"Dengan syarat projek RTS mestilah diteruskan segera kerana Baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura.
“Sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Baginda dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

Semalam, sebuah portal berita yang memetik kenyataan sumber berkata kajian semula Putrajaya berkaitan projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) dari Johor Bahru kepada Singapura terganggu secara tidak langsung disebabkan sebidang tanah di Bukit Chagar yang sepatutnya milik Kerajaan Persekutuan telah ditukar milik kepada nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kata portal itu lagi, beberapa individu yang mengetahui perkara itu memberitahu bahawa Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik ini pada 28 Januari lalu.

Tanah tersebut merupakan salah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh kerajaan negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Namun, masih samar bila dan bagaimana Sultan Ibrahim memiliki tanah tersebut, tetapi sumber percaya geran tanah untuk 4.5 hektar itu ditukar semasa pentadbiran kerajaan BN di antara tahun 2017 dan 2018.