Tutup

Isu PSS: Pemimpin Warisan jangan keliru - Abdul Rahman Dahlan

Isu PSS: Pemimpin Warisan jangan keliru - Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman (gambar) terkejut perkataan 'munafik' dilontarkan Mohd Azis ketika berkempen untuk PRK Kimanis baru-baru ini. - Astro AWANI
KIMANIS: Tohmahan dan tuduhan mengatakan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebagai munafik kerana dilihat membantah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dilihat tidak masuk akal.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) itu memperlihatkan mereka terkeliru dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan warga asing Sabah sebelum ini.
Sebaliknya, menurut beliau, saranan pelaksanaan ala PSS itu sebenarnya adalah perbincangan peringkat makmal dan bukannya merupakan dokumen terakhir bagi mencapai persetujuan.

Abdul Rahman bahkan terkejut tuduhan perkataan 'munafik' itu dilontarkan oleh Ketua Wira Warisan selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, baru-baru ini.
"Azis berceramah di Kimanis ini memanggil kami ini sebagai munafik, pemimpin BN ini munafik. Saya harap dia minta maaflah dengan pemimpin-pemimpin BN.

"Sebab, yang berlaku ialah, perbincangan di peringkat makmal. Kalaupun ada perbincangan yang tidak bersetuju atau bersetuju, di peringkat jawatankuasa pusat ataupun utama itu, yang paling penting adalah dokumen terakhir RCI.

"Adakah dokumen akhir RCI itu terkandung syor atau cadangan melaksanakan PSS?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kempen PRK Kimanis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pimping, Membakut, malam tadi.

Menurut Abdul Rahman lagi, perkara yang membuktikan laporan terakhir RCI tidak menyarankan PSS boleh dirujuk kepada pihak terbabit.

Beliau turut meminta supaya Warisan jangan terkeliru dengan isu pokok berkenaan pengurusan warga asing di negeri itu.

"Kita sudah pastikan, sudah baca, malah hari ini, peguam Ansari Abdullah, yang terlibat dalam penyediaan laporan terakhir RCI, telah keluarkan kenyataan di Facebook beliau, bahawa tidak ada pun cadangan untuk memperkenalkan PSS dalam RCI.

"Beliau adalah seorang peguam yang telah dipertanggungjawabkan menulis dan mengumpul laporan terakhir RCI. Jadi, Azis dan Datuk Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan) terkeliru bahawa ini adalah cadangan terakhir," katanya.