Isu PTPTN: Saranan senarai hitam bercanggah manifesto PH - NGO

Isu PTPTN: Saranan senarai hitam bercanggah manifesto PH - NGO
Kata Mohd Al Iman, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan situasi peminjam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya. - BERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula saranan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang berhasrat untuk menyenaraihitamkan peminjam yang tidak membayar balik pinjaman pelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara, Mohd Al Iman Zakaria berkata, saranan berkenaan jelas bercanggah dengan manifesto yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Sebaiknya, kerajaan mengkaji semula mekanisme yang sepatutnya dalam usaha membantu dan meringankan kumpulan ini, bukannya menghukum kerana gagal membayar hutang.

"Jangan apabila sudah menjadi kerajaan, mereka lupa dengan janji memancing undi terdahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: MBM beri amaran kepada PTPTN: Jangan banyak pusing

BACA: 
Sekat perjalanan ke luar negara bukan cadangan PTPTN
Isu itu timbul selepas PTPTN dilaporkan menerima cadangan untuk memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Kata Mohd Al Iman, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan situasi peminjam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Dilihat kini, masih ada peminjam yang menganggur walaupun sudah habis belajar dan terdapat antara mereka diklasifikasikan sebagai berpendapatan rendah (B40) serta belia miskin bandar.

"Kerajaan hendaklah melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan keputusan mengenainya agar peminjam tidak rasa seperti pengundi belia yang teraniaya," jelasnya.

Ujarnya lagi, kegagalan peminjam membayar juga ada kaitan dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang.

"Kerajaan perlu menangani kos sara hidup ini dengan sesegera mungkin.

"Apabila kos sara hidup rendah, peminjam berkemungkinan mampu membayarnya tanpa sebarang masalah," tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd Al Iman amat berterima kasih kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kerana menjelaskan secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang.

Wan Saiful sebelum ini juga menafikan cadangan itu datang daripada pihaknya, sebaliknya berkata ia adalah hasil perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini dan bukannya keputusan muktamad.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dilaporkan berkata
cadangan itu hanya "salah faham" dan "bukan daripada PTPTN".

Sebaliknya, ia sekadar dikemukakan dalam rundingan awam bagi mendapatkan pandangan orang ramai.

Yayasan Patriot Negara adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya golongan remaja dan belia.




Tag: Wan Saiful Wan Jan, Pakatan Harapan, PRU14, NGO, ptptn, pendidikan, remaja, belia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, Yayasan Patriot Negara, pinjaman ptptn


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.