Anggota Jawatankuasa Pusat Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengakui beliau sebelum ini memilih untuk bercakap benar mengenai rakaman audio yang dikaitkan dengan dirinya.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menafikannya selepas merujuk beberapa pemimpin parti dan bagi mengelak Pas terus diserang parti lawan dalam keadaan negara menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 ketika itu.

"Sebaik tular, saya ada dua pilihan di hadapan. Pertama, bercakap benar dan mengesahkannya. Kedua, menafikannya. Ia adalah ucapan dalam majlis tertutup dengan audien tertentu sahaja. Terlalu tertutup. Maka hak saya adalah menjaga kerahsiaan dan tidak sama sekali mengkhianatinya.

"Kedua-dua pilihan adalah syar'ie. Saya memilih yang pertama. Ia mudah. Bercakap benar akan membebaskan kita. Bohong adalah penjara yang memerangkap diri sendiri. Saya memilih untuk berterus terang sahaja. Saya yakin isi ucapan saya akan mudah sahaja difahami jika difahami konteksnya," katanya dalam status di laman sosial Facebook pada Rabu.

Bagaimanapun ketika itu, beliau sedar ia bukan sekadar soal nama baik peribadi, namun turut melibatkan parti diwakilinya iaitu Pas.

"Saya mewakili parti Pas dalam masyarakat. Rakaman itu walaupun bertujuan menjatuhkan reputasi saya, ia segera sahaja disambar oleh musuh sebaik tular untuk menjatuhkan Pas. Belum sempat ahli Pas marahkan saya, musuh-musuh politik Pas telah merayakannya. Nyamuk belum mati, api sudah menyambar kelambu," tambahnya.


Justeru katanya, penafian beliau mengenai rakaman audio berkenaan sebelum ini adalah keputusan parti Pas.

"Dalam kesukaran, saya memohon jawaban daripada tuan guru Presiden Pas. Segera Presiden Pas merestukan keputusan agar saya segera menafikannya. Saya akur dan gembira menerima mandat.

"Alhamdulillah, api fitnah gagal merebak. Pas memasuki pilihanraya umum ke14 dengan gagah dan berjaya menambah kekuatannya di Parlimen dan DUN-DUN. Pintu 2 adalah pemberitahuan bahawa jawaban pertama saya dulu adalah dengan keputusan oleh parti Pas," katanya lagi.