Kerajaan Selangor perlu berbincang dengan penghuni rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan negeri itu sebelum ia dirobohkan.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, apa yang berlaku kini adalah penindasan kepada rakyat sekali gus menutup keputusan menang menang kepada semua pihak yang patut diperoleh dari awal.

“Saya berasa simpati kepada penduduk Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir Sungai Buloh ini selepas tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah mereka tanpa ada notis pemberitahuan diberikan.

“Makluman awal yang saya terima ialah perbincangan antara pihak kerajaan negeri dan wakil penduduk telah bersetuju untuk menangguhkan proses perobohan rumah ini sehingga November 2019.

“Perkara ini selepas mengambil kira rayuan penduduk yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini seperti UPSR, PSRA, PT3, SPM dan STPM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan mengenai gesaan 92 orang penduduk terlibat yang meminta agar kerajaan Selangor dapat menangguhkan terlebih dahulu proses perobohan kediaman mereka sehingga akhir tahun ini.

Dalam pada itu, jelas Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, penduduk terbabit bukannya tidak bersetuju untuk berpindah tetapi memohon sedikit masa lagi untuk mereka benar-benar bersedia dari segala hal untuk berpindah.

“Penduduk Sungai Kedondong ini juga dijanjikan penawaran sebuah rumah Selangorku sebagai ganti tetapi rumah Selangorku dijangka siap pada tahun 2021 dan sehingga kini tiada lagi pembinaan berlaku di kawasan yang ditawarkan.

“Selain itu, penduduk juga tidak ditawarkan penempatan sementara dan pampasan atau duit sewa kepada keluarga mangsa.

“Atas prinsip kemanusiaan, saya minta keprihatinan pihak kerajaan negeri untuk segera selesaikan masalah tempat tinggal kepada mangsa perobohan rumah ini dan segera turun berjumpa penduduk di sini untuk menyelesaikan segala keputusan yang akan diambil,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman terdahulu dilaporkan berkata, operasi merobohkan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Jelasnya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.