Isu berbangkit melibatkan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan akan menjadi keutamaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dalam satu kenyataan lewat petang Isnin, Maximus berkata, peranan yang dipertanggungjawabkan kepada beliau cukup besar dalam mengetengahkan isu-isu Sabah dan Sarawak sekali gus mencari jalan penyelesaian.

"Bagaimanapun, ini adalah peluang untuk saya mewakili rakyat di Sabah dan Sarawak mencari jalan penyelesaian melibatkan hal-hal dalam lingkungan Persekutuan Malaysia sama ada dalam hal undang-undang, dasar, keselamatan dan pembangunan secara keseluruhannya.

"Kami (Parti Bersatu Sabah) sangat menghargai pelantikan itu dan saya akan berusaha melakukan yang terbaik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA: Senarai barisan Kabinet Malaysia 2020

Dalam masa sama, Maximus turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan dan peluang untuk berkhidmat kepada negara.

Terdahulu, Muhyiddin pada sidang media khas di Putrajaya mengumumkan senarai ahli Jemaah Menteri bersama-sama beliau dalam Kabinet.

Selain Maximus, antara yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makana); Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) serta Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri di JPM).