Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengarahkan Ketua Setiausahanya untuk mendapatkan perintah tahan kerja terhadap pegawai kanan kementerian itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana RM100 juta.

Beliau berkata, pegawai terbabit akan diminta untuk dikeluarkan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya minta Ketua Setiausaha saya tulis kepada Jabatan Pekhidmatan Awam untuk keluarkan perintah tahan kerja dibawah peraturan 43 peraturan-peraturan pegawai awam.

"Maksudnya, beliau dipindahkan keluar dari KBS. Beliau secara teknikal tidak digantung sebagai penjawat awam tetapi dikeluarkan dari kementerian," ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, sebagai menteri yang memegang portfolio KBS ketika ini beliau bertanggungjawab penuh untuk memperjelas dan menjawab isu yang berlaku ketika ini.

Beliau perlu memastikan segala siasatan yang dijalankan dibuat secara menyeluruh, telus dan bebas.

"Saya ada tanggungjawab untuk pastikan bahawa segala proses ini diperbaiki dan diperbetulkan sebab ini berlaku di peringkat pentadbiran, di peringkat penjawat awam dan beliau telah memanipulasi satu proses dan prosedur sekian lama dan tugas dan tanggungjawab saya untuk pastikan siasatan dibuat secara menyeluruh tanpa gangguan, bebas, telus dan untuk hasil siasatan diperingkat petugas khas dilaksanakan sepenuhnya, soal jenayah itu soal SPRM," ujar beliau.


Dalam pada itu, Khairy mengakui bahawa beliau mengenali pegawai terbabit, namun secara peribadi tidak mengetahui gaya hidup mewahnya.

Menilai prestasi pegawai berkenaan, kata Khairy, pegawai tersebut menjalankan tugas seperti biasa dan tiada yang luar biasa ditonjolkan.

"Secara peribadi, saya tidak tahu, sebab saya lihat beliau biasa sahaja di pejabat. Apa yang ditunjukkan dalam media, gaya hidup beliau, tidak dipamerkan sewaktu kerja. Di pejabat, saya tidak perasan sebab saya tak tengok jam dia," jawab Khairy.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu menahan sembilan individu termasuk seorang Setiausaha Bahagian KBS yang yang dipercayai mendalangi sindiket penyelewengan dana mencecah RM20 juta.

Individu terbabit kini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.