Isu sijil akademik: Marzuki serahkan kepada Perdana Menteri

Isu sijil akademik: Marzuki serahkan kepada Perdana Menteri
Dalam kenyataan itu juga, Marzuki juga menjelaskan mengenai kekeliruan yang tertulis di Wikipedia berhubung pendidikannya di University of Cambridge.
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri berhubung nasibnya, selepas timbul persoalan mengenai kelayakan akademik sebenar beliau.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau mahu kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diserahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti bagi membuat keputusan.

Dalam kenyataan itu juga, Marzuki juga menjelaskan mengenai kekeliruan yang tertulis di Wikipedia berhubung pendidikannya di University of Cambridge.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, sesiapa sahaja boleh memasukkan maklumat ke dalam laman web Wikipedia. Ianya juga boleh diedit oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

“Sejujurnya saya tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikan saya di dalam Wikipedia. Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk melakukannya. Bahkan, ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat dan bukannya University of Cambridge,” jelasnya.

Katanya, beliau memulakan memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU pada sekitar tahun 2002, iaitu 17 tahun dahulu yang mana ketika masih berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan logistik miliknya di Pulau Pinang.

“Sejujur dan seikhlasnya saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa. Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi.

“Saya berharap agar penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang ada. Dengan ini juga, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu kepada Perdana Menteri  dan kepimpinan parti,” katanya lagi.

Bersama-sama kenyataan itu juga, beliau mengemukakan bukti  memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) daripada Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Sijil Akademik Datuk Marzuki Yahya

Sijil Akademik Datuk Marzuki Yahya

Tag: Marzuki Yahya, Timbalan Menteri Luar, Timbalan Menteri Luar Negeri, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.