Isu Taman Rimba Kiara: Tiada pencerobohan, tiada pemindahan, tiada flat - YWP

Isu Taman Rimba Kiara: Tiada pencerobohan, tiada pemindahan, tiada flat - YWP
Pembangunan ini tidak menceroboh taman rekreasi besar, trek jogging dan kolam yang sedia ada. - Website @www.tamanrimbakiara.net
KUALA LUMPUR: SUDAH tiba masanya Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membetulkan salahfaham dan laporan yang tidak tepat berkaitan cadangan pembangunan di Taman Rimba Kiara. YWP sebagai tuan tanah yang berdaftar, ingin menjelaskan dan memberikan maklumat yang tepat mengenai projek itu supaya orang ramai tidak keliru dengan kenyataan tidak konsisten yang dikeluarkan dalam beberapa minggu yang lalu.

1) Tiada Pencerobohan ke atas Taman Rimba Kiara

YWP dan pemaju berkompromi dan bersetuju untuk mengecilkan cadangan pembangunan dari 12 ekar (4.9hektar) kepada 8 ekar (3.2hektar). Baki 4 ekar tanah akan dipulangkan agar dapat dirizabkan menjadi kawasan lapang supaya bersekali dengan tapak seluas 13 ekar yang sedia ada di sebelahnya. Ini bermakna sejumlah 17.0 ekar (6.9ha) kawasan Taman Rimba Kiara (TRK) masih tidak diceroboh oleh sesiapa. Oleh itu, orang ramai akan dapat terus menikmati kehijauan alam semulajadi yang mereka sayangi.

Pembangunan ini tidak menceroboh taman rekreasi besar, trek jogging dan kolam yang sedia ada manakala kuil Sri Maha Mariamman, akan dikekalkan seperti sediakala di tanah seluas 0.3 ekar. Pemaju juga telah memperuntukkan tanah tambahan sebanyak 0.39 ekar, menjadikannya lebih luas berjumlah 0.69 ekar untuk manfaat penganut kuil tersebut.

2) Subsidi silang - untuk Perumahan Mampu Milik

Perumahan mampu milik iaitu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Bukit Kiara akan terus dibina, berdasarkan sistem subsidi silang, yang dibiayai oleh pemaju. Sistem subsidi silang ini sepatutnya menggunakan hasil daripada penjualan kondominium yang dirancang di atas tanah tersebut, untuk menanggung sepenuhnya los pembinaan pangsapuri RUMAWIP' dan los tanah 1.0 ekar untuk pangsapuri RUMAWIP dan 0.69 ekar kuil tersebut'. Ini seterusnya akan membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan pada masa yang sama memenuhi agenda perumahan negara.

Namun, pada hari ini, YWP dan pemaju perlu berkompromi apabila terpaksa mengurangkan skop pembangunan dari 8 blok ke 4 blok kondominium yang sepatutnya menjadi sumber subsidi-silang bagi tanah dan kos pembinaan RUMAWIP tersebut.
Ditambah pula dengan pemulangan 4.0 ekar tanah yang akan dirizabkan sebagai kawasan lapang Taman Rimba Kiara selain menghadapi risiko tidak mendapat balik premium yang telah dibayar kepada kerajaan.
Sementara kesemua pihak berpegang kepada keputusan yang diputuskan oleh mahkamah berhubung Perintah Pembangunan dan Perjanjian Penempatan Semula (MRA) yang sah baru-baru ini, semua di atas merupakan jalan penyelesaian terbaik yang dapat memenuhi kehendak semua pihak yang terlibat, khususnya penduduk rumah panjang Bukit Kiara, YWP, pemaju dan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr. Ismail.

3) Tiada Pemindahan Rumah Panjang

Penduduk rumah panjang Bukit Kiara tidak pernah diminta untuk berpindah atau keluar dari rumah panjang mereka semasa berlangsungnya pembinaan rumah mampu milik RUMAWIP.

Di bawah perjanjian MRA antara YWP dan Pertubuhan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara pada tahun 2015, ianya jelas menyatakan bahawa penduduk rumah panjang tidak perlu berpindah dan mereka boleh terus tinggal di rumah panjang yang sedia ada, sehingga selesai pembinaan RUMAWIP. RUMAWIP yang dicadangkan terdiri daripada 1 blok pangsapuri di atas tanah seluas 1.0 ekar, terletak sejauh 10 meter dari rumah panjang sedia ada.

Oleh itu, ia sangat tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada YWP, apabila orang awam dihasut dengan kenyataan yang mengelirukan, bahawa YWP akan memindahkan mereka ke tempat lain.

4) Tidak ada Flat, tetapi Pangsapuri

Ia juga satu kenyataan yang tidak tepat bahawa rumah yang akan dibina untuk penduduk rumah panjang ialah unit yang bersaiz kecil. Cadangan pembinaan rumah mampu milik ini atau RUMAWIP, adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Direka oleh KWP, dasar 'Mampu Milik' menyatakan bahawa setiap penduduk Wilayah Persekutuan, mesti mendapatkan saiz unit minimum 850 kaki persegi yang mempunyai 3- bilik tidur dan 2-bilik mandi, sekali gus memastikan kehidupan masyarakat yang mampan.

Kediaman 850 kaki persegi yang dicadangkan akan mengubah dan memperbaiki kehidupan semasa penduduk rumah panjang, kepada kehidupan bermasyarakat yang lebih terkehadapan dengan dilengkapi kemudahan yang sesuai seperti dewan serbaguna, tadika, kedai serbaneka, kedai dobi, pejabat pengurusan, surau, bilik bacaan, kawasan podium dan kawasan hijau terbuka. Malah, penduduk rumah panjang akan menikmati kualiti hidup yang lebih selesa dengan saiz rumah yang lebih besar iaitu 850 kaki persegi berbanding saiz 480-600 kaki persegi bagi setiap unit rumah panjang yang ada pada hari ini.

5) Persatuan Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara

Pertubuhan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara ialah persatuan penduduk yang berdaftar untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara sejak tahun 2003 dan is adalah satu-satunya persatuan penduduk yang diiktiraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kesemua rumah panjang tersebut telah didaftarkan sebagai 'Rumah Awam' di bawah DBKL. Setiap `pemilik yang sah' ini iaitu generasi pertama, telah mendaftarkan nama mereka dan mempunyai kad kuning yang dikeluarkan oleh DBKL.

Oleh itu, sebagai persatuan penduduk yang diiktiraf bagi kepentingan masyarakat rumah panjang Bukit Kiara, Pertubuhan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara telah menandatangani penjanjian Perumahan Awam dengan YWP pada tahun 2015. Baru-baru ini, Pertubuhan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara telah mengadakan AGM ke-16 mereka pada 31 Mac 2019 dengan dihadiri oleh kesemua penduduk dari rumah panjang, disaksikan oleh badan bebas untuk memastikan proses pengundian telus. Dan sekali lagi Encik Sunderam Vadiveloo telah dipilih sebagai Presiden kepada persatuan penduduk yang sah tersebut.

Oleh itu, YWP akan terus berkomunikasi dengan orang yang mewakili hak dan keperluan penduduk rumah panjang Bukit Kiara. Di bawah Perjanjian Penempatan Semula (MRA), generasi pertama dari setiap keluarga yang merupakan `pemilik yang sah' ini, akan diberi 1 unit pangsapuri secara percuma. Manakala untuk generasi kedua yang namanya dicalonkan oleh generasi pertama tersebut, boleh membeli 100 unit pangsapuri yang diperuntukkan pada harga 50% diskaun.

6) Kerja Pembaikan di Rumah Panjang

Atas dasar budi bicara, pemaju telahpun menyumbang RM700,000 untuk membantu kerja-kerja pembaikan keseluruhan rumah panjang yang semakin usang, sementara menunggu siapnya pembinaan RUMAWIP. Sebahagian daripada kerja-kerja pembaikan yang telah dijalankan termasuk paip air, penyumbatan pembetungan, tangki septik serta lain-lain.

Rumah panjang sementara ini telah dibina 36 tahun yang lalu, dan keadaan rumah panjang semakin usang hari demi hari. Penduduk rumah panjang masih menunggu siapnya pangsapuri mampu milik mereka. Oleh itu, kerja-kerja pembinaan tidak boleh ditangguhkan lagi.


ZAIZALNIZAM ZAINUN
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Wilayah Persekutuan
23 April 2019