Bisnes penjagaan kanak-kanak di Malaysia adalah satu industri yang memerlukan perhatian dan bantuan, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi sektor swasta dan penduduk secara keseluruhannya.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh berkata dianggarkan hanya 10 peratus taska yang berdaftar ketika ini, berdasarkan populasi kanak-kanak yang ibu bapa bekerja dan jumlah pusat penjagaan yang wujud ketika ini.

“Bagi mendapatkan kelulusan membangunkan taska, mereka memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kelulusan PBT pula memerlukan kebenaran daripada persatuan penduduk atau rukun tetangga. Banyak taska dapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan pihak bomba, namun sering gagal dapatkan kebenaran dari jiran kawasan perumahan itu kerana bimbang dengan bunyi bising dan kesesakan.

“Saya ingin merayu supaya persatuan penduduk ini beri pertimbangan yang lebih wajar kerana kita perlu ambil kira keselamatan kanak-kanak,” kata Hannah Yeoh kepada pemberita selepas merasmikan acara Memperkasakan Belia sempena Hari Kanak-kanak sedunia, pada Ahad.

Hannah turut menyentuh isu ibu bekerja, terutamanya yang tergolong dalam kumpulan B40 berdepan cabaran tidak mampu menghantar anak ke taska.

“Sekarang gaji minimum adalah RM1,100 dan yuran taska mungkin RM300, jika seorang ibu ada tiga anak, ibu ini mungkin ambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Kami mahu bantu mereka yang mahu bekerja, oleh itu saya sambut baik pengumuman Belanjawan 2019 yang memperuntukkan RM10 juta untuk bina 50 taska di pejabat kerajaan.

“Ini permulaan yang baik, kerana apabila kerajaan beri contoh yang baik, lebih mudah untuk kerajaan beri tekanan positif kepada sektor swasta bangunkan taska di pejabat mereka,” kata Hannah lagi.

Selain itu, Hannah berkata kerajaan akan melihat bagaimana operasi taska dapat dibantu, khususnya dari segi kos utiliti.

“Taska tergolong dalam perniagaan komersial, dan harga utiliti juga lebih tinggi. Kami akan bincang dengan syarikat utiliti ini untuk mencari jalan bagaimana taska boleh dibantu.

“Saya juga mengalakkan kepada mana-mana pihak di luar sana yang mahu membantu, kebajikan kanak-kanak dan taska di Malaysia,” kata Hannah.

Sebelum ini, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat sudah mewajibkan setiap kementerian untuk mewujudkan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak bermula 1 Januari 2019.

Keputusan itu dibuat selepas kes kematian bayi Adam Rayqal Mohd Sufi yang mayatnya ditemui di dalam sebuah peti sejuk di rumah pengasuhnya.