Seorang Timbalan Pengerusi sebuah syarikat pembangunan hartanah berpangkat Datuk direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Muhamad Azam Md Eusof di Mahkamah Majistret Georgetown kira kira jam 12 tengah hari.

Permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ewin-Zeninth Sdn Bhd berusia 50 tahun itu.

Terdahulu, suspek hadir berpakaian lokap SPRM berwarna jingga ditemani peguamnya Ong Yin Shin dan Allen pada jam 11.40 pagi.

Individu berkenaan ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa, SPRM menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan terowong dasar laut.

Turut diserbu dalam operasi sekitar 9 pagi itu ialah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri itu.

Antaranya, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR serta Jabatan Kerja Raya negeri di Jalan Sungai Pinang.

Selain itu, pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith di sekitar negeri itu juga diserbu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, serbuan dibuat bagi membantu siasatan berkaitan projek mega itu yang akan menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Perai Utara.

Serbuan dibuat berdasarkan bukti baru berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM.

Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baharu kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri, serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.