Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ini susulan siasatan PAC berkaitan isu kontrak pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang bernilai RM150 juta oleh Kementerian Pengangkutan pada 2014.

Menurut Ronald, Ismail akan dipanggil kerana sewaktu projek tersebut dijalankan, Ismail merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

“Kita akan panggil syarikat yang terlibat dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang ketika ini merupakan Ketua Setiausaha Negara,” kata Ronald kepada pemberita semasa ditemui di Parlimen pada Rabu.

Prosiding yang berlangsung hari ini menyaksikan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipanggil memberi keterangan selama hampir dua jam.

Ronald yang berpuas hati dengan prosiding hari ini mengesahkan tiada keperluan untuk memanggil semula Liow.

Beberapa isu lain yang menjadi fokus PAC ketika ini melibatkan pertukaran status tanah, Tabung Haji, Khazanah Nasional Berhad, pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menerusi laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dibentangkan di Parlimen 3 Disember lalu, terdapat peningkatan drastik dalam perbe­lanjaan operasi pelaksanaan sistem VEP yang bernilai RM149.45 juta itu.

Yang turut dilaporkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diyakinkan oleh Liow bahawa kontraktor yang dilantik itu berkemampuan dan mempunyai kepakaran untuk projek tersebut.

Bagaimanapun, didapati kontraktor yang dilantik itu hanya mempunyai RM35.54 di dalam akaun dan bukan­nya RM2.3 juta seperti yang diperlukan.

Kelemahan lain yang ditemui berkaitan sistem itu ialah peralatan seperti kamera, palang tol dan alat pembaca di lorong tol bernilai RM4.07 juta masih belum dipasang.

Sementara itu, semasa ditemui pemberita, Liow menjelaskan pada ketika itu, kerajaan mengarahkan kementeriannya untuk melaksanakan sistem VEP secepat mungkin.

“Projek ini dibincangkan sebelum saya ambil alih Kementerian Pengangkutan dan pihak jemaah menteri arahkan kami laksakan VEP dengan kadar segera.

“Ini kerana pada pertengahan 2014, Singapura umum bahawa mereka akan tingkatkan caj VEP Singapura daripada 20 dolar Singapura kepada 35.

“Oleh itu Malaysia perlu ambil tindakan balas agar Malaysia juga ambil kutipan caj ke atas kenderaan Singapura,” katanya.

Tambah Liow, disebabkan itu kementeriannya pada waktu itu membuat cadangan kepada Majlis Ekonomi Negara dan ia seterusnya mendapat kelulusan daripada jemaah menteri pada Mac 2015.

Sebelum Liow mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan pada 27 Jun 2014, kementerian itu dipangku sementara oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein.