"Jika kerana jambatan bengkok yang saya marah, saya patut tuntut peletakan Najib sebelum PRU 13."

Itu kenyataan terbaharu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir di blognya chedet.cc hari ini bagi menjelaskan kritikan beliau terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurutnya, kritikan yang dilemparkan kepada Najib bukan kerana kegagalan perdana menteri itu meneruskan projek pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, hal-hal yang dibangkitkan kepada Najib - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu - adalah hal yang sama ditanyakan kepada beliau oleh banyak pihak.

"Saya tak dapat jawab. Saya tanya orang yang boleh jawab," tulis beliau.

Beliau menambah jika isu jambatan bengkok itu membuatkannya marah, beliau sudah menuntut peletakan jawatan Najib sebelum PRU13 lagi.

"Sebaliknya saya berkempen untuk kemenangan Najib. Kepimpinan Najib di Selangor tidak berkesan," tulisnya lagi.

Dr Mahathir juga mendakwa terdapat ugutan jika ada pihak yang tidak menyokong Najib namun menegaskan sokongan dari kumpulan-kumpulan tertentu tidak bermakna mereka menyokong 1MDB.

“Mereka takut. Ada yang tanya saya berkenaan dengan 1MDB dan minta saya buat sesuatu. Sekarang ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak menyatakan sokongan kepada Najib.

“Teringat saya kepada ribuan orang yang dibawa berhimpun dan disuruh angkat sepanduk “I love PM” dan menyanyi “IM4U”. Tetapi dalam PRU 13 kalah,” katanya.

Dalam kritikan terbaharunya, bekas presiden UMNO itu juga menegaskan persoalan di mana wang milik (1MDB) masih tidak lagi dijawab.

"Hakikatnya wang 1MDB ada dimana masih tidak dijawab, kata Dato Sri Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik.

"Rakyat jadi lebih keliru. Jika tidak ada di Cayman Islands, ada dimana? Daripada mana datang wang yang separuh dibawa balik dahulu dan separuh dibawa balik untuk disimpan di Singapura,"

Dr Mahathir juga mempersoalkan kenapa wang yang bukan dari Cayman Islands disimpan dan tidak digunakan untuk membatar faedah RM2 bilion.

"Kenapa kerajaan membuat standing credit sebanyak 900 million," katanya lagi.

Dr Mahathir juga membangkitkan apakah menjadi satu kesalahan jika beliau mempersoalkan sikap menyembunyikan wang rakyat yang hilang.

Katanya, beliau bertanggungjawab kepada rakyat biarpun sedar keseorangan dalam membangkitkan isu-isu tersebut.

Menyentuh isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Dr Mahathir berkata beliau hanya bertanya siapa yang memberi arahan kepada Sirul Azhar Umar.

"Saya tidak tuduh Najib. Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa melainkan diserang atau di arah.

"Ini soal nyawa manusia. Kalau salah, bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak adil lah jika Sirul dibunuh," katanya.

Khamis lepas, Najib muncul dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan di TV3 dan menjawab perkara-perkara yang disentuh oleh Dr Mahathir.

Menerusi rancangan yang dirakam itu, Najib menjelaskan beliau telah mengarahkan siasatan forensik dilakukan terhadap 1MDB oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Wang Kira-Kira Negara (PAC).

Selain itu, Najib juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan perkara tersebut telah disahkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).