Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau mempunyai masa berbaki dua bulan lagi untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata wakil rakyat Port Dickson itu, semua Ahli Parlimen diberi tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian.

Mengambil kira tarikh beliau memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober lalu, beliau masih ada tempoh sebulan.

"Sabarlah, ada masa lagi. Saya diberi masa tiga bulan sebagai Ahli Parlimen. Saya baru sahaja menang. Belum tiga bulan," jawabnya ketika ditemui selepas sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Besar UPM pada Isnin.

Anwar memenangi kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 13 Oktober lalu.



Terdahulu, beliau dilaporkan antara 13 ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta, sehingga pukul 5 petang Ahad, ahli Parlimen itu belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset.

Terdahulu, ketika sesi dialog bersama mahasiswa di UPM, Anwar menjawab beberapa persoalan yang diutarakan termasuk dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan biasiswa kerajaan.

Beliau menyeru kepada mahasiswa supaya tekad dalam menuntut ilmu dan melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi.