Tutup

IWK ambil tindakan tegas potong perkhidmatan sistem pembetungan terhadap penghutang tegar

IWK ambil tindakan tegas potong perkhidmatan sistem pembetungan terhadap penghutang tegar
Tindakan tegas memohon Perintah Mahkamah tersebut dibuat oleh IWK setelah segala tindakan untuk mendapatkan bayaran yang tertunggak selama 14 tahun gagal diperolehi dari premis tersebut. - Sumber foto: IWK
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah mendapat satu Perintah Mahkamah untuk memotong perkhidmatan sistem pembetungan jenis bersambung ke sebuah premis yang terletak di sebuah rumah kedai di Kuala Lumpur.

Tindakan tegas memohon Perintah Mahkamah tersebut dibuat oleh IWK setelah segala tindakan untuk mendapatkan bayaran yang tertunggak selama 14 tahun gagal diperolehi dari premis tersebut.
Bukan sahaja surat peringatan dibuat beberapa kali, malah lawatan ke premis tersebut telah dibuat, serta surat tuntutan dan pengeluaran saman juga telah dilaksanakan. Biarpun, penghakiman telah dikeluarkan bagi menuntut dan mendapatkan bayaran tertunggak untuk caj perkhidmatan pembetungan yang disediakan oleh IWK selama ini kepada premis tersebut, namun masih tiada sebarang bayaran dibuat.

Dalam satu kenyataan hari ini, IWK menjelaskan walaupun tiada pembayaran dibuat kepada IWK sepanjang tempoh tersebut, IWK masih tetap meneruskan perkhidmatan pembetungan kepada premis berkenaan tanpa henti.
Sehingga 31 Disember 2018, hutang tertunggak yang terkumpul sejak IWK ditubuhkan 25 tahun lepas adalah kira-kira sebanyak RM688 juta dan ini memberi kesan teruk kepada kedudukan kewangan syarikat selama ini.

Sebagai syarikat pembetungan nasional, IWK telahpun menjalankan pelbagai usaha untuk menggalak dan memberi penjelasan kepada pengguna akan kepentingan menjelaskan bil perkhidmatan pembetungan mereka. Namun, masih terdapat pengguna yang masih enggan menjelaskan bil perkhidmatan yang telah disediakan selama ini.

Pihak IWK juga telahpun berusaha untuk memberi notis, berbincang dengan penghutang, mengeluarkan surat saman serta menjalankan pelbagai promosi untuk memujuk penghutang membayar bil mereka.

Namun, penghutang tegar ini masih enggan menjelaskan hutang, dan ini memaksa syarikat mendapatkan perintah mahkamah untuk membuat pemotongan perkhidmatan tersebut.

Tindakan pemotongan perkhidmatan pembetungan ke atas premis tersebut tidak akan menjejaskan perkhidmatan pembetungan kepada premis-premis berdekatan yang lain mahupun alam sekitar.

Berbanding tahun 2000, jumlah kutipan pembayaran bil pembetungan adalah 64 peratus kumulatif tetapi sehingga Disember 2018, IWK berjaya merekodkan sebanyak kira-kira 89 peratus kumulatif pembayaran bil pembetungan.

Peningkatan ini adalah hasil daripada beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan IWK khususnya dalam menitikberatkan operasi serta khidmat pelanggan yang cekap termasuk memperkenalkan pelbagai cara perkhidmatan bayaran yang lebih mudah seperti pembayaran atas talian, aplikasi mudah alih serta e-bill.

Adalah menjadi harapan IWK agar pengguna sedar akan kepentingan rawatan air kumbahan kepada alam sekitar dan memohon semua pengguna premis bersambung untuk lebih bertanggungjawab menyelesaikan sebarang tunggakan bil perkhidmatan pembetungan dengan segera, sebagaimana bayaran dibuat bagi bil-bil utiliti lain.

Sehubungan itu, IWK turut menyampaikan penghargaan kepada pelanggannya yang telah menjelaskan bil pembetungan mereka dan memahami akan kepentingan sistem pembetungan yang moden dan cekap demi penjagaan alam sekitar serta sumber air.




Tag: Indah Water Konsortium, IWK, Perintah Mahkamah, sistem pembetungan, pemotongan, penghutang tegar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.