Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kepakaran Jabatan Forensik bagi menyiasat ketulenan video seks melibatkan Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata video itu telah diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk dianalisis selepas kertas siasatan kes itu dibuka pada 13 Jun lalu.

“Pakar forensik PDRM akan menganalisis kandungan video itu untuk mengenal pasti keasliannya dan juga menyiasat sama ada ia menggunakan teknik pertindihan (superimpose) dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menyiasat secara menyeluruh termasuk ketulenan gambar dan video seks yang tersebar itu.

Katanya, polis juga akan melakukan siasatan sama ada Haziq bercakap benar atau tidak ketika membuat rakaman video pengakuan berkenaan.

Rabu lepas, Haziq membuat pengakuan dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

Haziq kemudiannya ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina Jumaat lalu.

Bagaimanapun jam 5.48 petang semalam, Haziq dibebaskan dengan jaminan polis selepas melalui proses siasatan selama 24 jam.