Tutup

Jabatan Imigresen Perak serbu kedai karpet, restoran nasi kandar

Jabatan Imigresen Perak serbu kedai karpet, restoran nasi kandar
Mereka yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. - Foto: JIM Perak
IPOH: Selain melakukan serbuan di pusat-pusat hiburan yang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI), Jabatan Imigresen Malaysia turut menjalankan operasi di kedai karpet dan restoran nasi kandar.

Terbaru, Jabatan Imigresen Perak menjalankan Op Bersepadu di sekitar Ipoh dan Taiping, bermula 15 hingga Oktober lalu.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Perak, Kamalludin Ismail, sepanjang operasi tiga hari itu, sebanyak 12 premis telah diserbu.

“Seramai 65 orang telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara dan daripada jumlah tersebut, 45 orang telah ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, daripada jumlah yang ditahan, empat lelaki Indonesia, 15 lelaki Bangladesh, 15 lelaki Pakistan dan 11 lelaki India yang berumur antara 30 hingga 55 tahun.

Kamalludin berkata, berdasarkan maklumat awal, majikan di lokasi-lokasi yang diserbu itu disyaki menggajikan warga asing tanpa pas yang sah.
“Serbuan dibuat di salah sebuah bangunan kedai di Ipoh menemukan pasport yang bukan milik mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) dan setelah diteliti pasport berkenaan, didapati pemilik pasport tersebut telah tinggal lebih masa,” ujarnya.

Katanya, siasatan ke atas OKT memberitahu pemilik pasport tersebut bekerja di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Greentown.

Susulan daripada maklumat itu, kata beliau, Pegawai Operasi telah menyerbu premis terbabit.

“Hasil serbuan mendapati pekerja-pekerja tersebut tidak memiliki permit kerja yang sah untuk bekerja di premis terbabit dan majikan gagal membuktikan sebarang permohonan untuk mendapatkan permit kerja yang sah terhadap pekerja-pekerja yang ditahan,” tambahnya.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi yang lain juga mendapati bahawa mereka yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Tag: jabatan imigresen malaysia, JIM, perak, warga asing, pekerja asing, PATI, op bersepadu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.