Seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan atau GRO ditahan dalam Op Bersepadu di sebuah pusat karaoke di sini pada awal pagi Sabtu.

Operasi selama dua jam bermula pada jam 12.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan 41 pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Daripada siasatan awal kita, kita dapati kesemua perempuan Vietnam ada melakukan kesalahan di bawah contoh Akta Imigresen 1959 / 63 iaitu tinggal lebih masa di samping salah guna pas dan juga tanpa dokumen.

“Ketika serbuan dibuat, mereka sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan yang telah beroperasi lebih setahun lalu sering tumpuan warga tempatan untuk mendapatkan layanan wanita warga asing.

“Anggota turut berhadapan dengan karenah pelanggan yang memberi pelbagai alasan termasuk mengakui teman wanita, isteri dan sebagainya,” ujarnya.

Ekoran daripada itu, kata Kamalludin, pihaknya seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak agresif dengan menghalang tugas penjawat awam, untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, majikan yang ditahan turut disiasat dan boleh didakwa kerana melindungi dan menggaji warga asing tanpa pas yang sah.