Jabatan Laut Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat tragedi bot karam di Pulau Mengalum, Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Datuk Baharin Abdul Hamid berkata siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk penyediaan alat keselamatan oleh pemilik bot dan kapasiti sebenar bot jenis katamaran berkenaan.

"Kita akan melihat dari semua aspek termasuk peralatan komunikasi dan keselamatan yang dibekalkan oleh pengusaha dalam pengoperasian mereka.

"Di samping itu, siasatan turut menjurus kepada bilangan muatan dibawa serta lesen yang dimiliki jurumudi bot itu," katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat Jabatan Laut Malaysia di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian pada 10 pagi Sabtu lepas, sebuah bot membawa 28 penumpang bersama tiga kru karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dari Jeti Kampung Tanjung Aru di sini.

Pada Ahad, dua kru dan 20 pelancong warga China diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan dan tiga daripada pelancong China terbabit terkorban dalam tragedi itu, manakala enam lagi masih hilang.

Baharin berkata hasil siasatan itu nanti akan dianalisa sebelum dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk penambahbaikan.

"Daripada siasatan itu, kita akan memberi syor kepada pihak kementerian bagi meningkatkan sekaligus menambah baik aspek keselamatan melibatkan pengangkutan air terutamanya bot penumpang.

"Selain itu, kita turut akan mengkaji keperluan mewajibkan pemasangan alat mengesan di dalam bot-bot penumpang bagi mengelak kejadian sebegini berulang," katanya.

Mengulas mengenai perlindungan insurans terhadap mangsa kejadian, Baharin berkata pihaknya masih menyiasat perkara itu.

"Sejak 2014, Jabatan Laut telah meminda undang-undang (Ordinan Perkapalan Saudagar 1952) mewajibkan setiap pengendali bot penumpang perlu mendapatkan perlindungan insurans.

"Namun perkara itu belum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berikutan pelesenan bot penumpang di dua negeri itu tertakluk di bawah kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata pihaknya telah menggerakkan bantuan awal dengan memberi isyarat kecemasan dikenali sebagai "Navtex" kepada kapal konvensional yang melalui kawasan berhampiran tempat kejadian.

"Setiap kapal konvensional ini dimaklumkan melalui Sistem Keselamatan dan Kecemasan Maritim Global (GMDSS) yang memberi maklumat awal kejadian terbabit.

"Sekiranya, ada antara kapal-kapal ini yang mengesan sebarang pergerakan seperti mangsa, mereka boleh berhubung terus dengan pihak kawalan," katanya.

Beliau berkata sistem Navtex berpusat di Klang dan Labuan. -- Bernama