Jabatan Pendidikan Perak telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk memantau gejala jangkitan penyakit seperti Influenza (ILI) di sekolah-sekolah berasrama di negeri ini.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Perak, Mat Jaafar Mat Zain, berkata pasukan khas itu bertujuan untuk memberi sokongan moral serta penerangan kepada sekolah-sekolah mengenai ILI selain bimbingan pencegahannya.

“Pasukan khas ini telah ditugaskan untuk memberi sokongan moral kepada sekolah-sekolah terlibat selain juga memberi peringatan kepada sekolah-sekolah berdekatan mengenai langkah-langkah pencegahan.

“Untuk sekolah yang telah pun mempunyai murid yang terkena ILI ini, kita juga datang membantu mereka bagi memastikan kesemua pelajar yang terlibat tidak ketinggalan dari segi pembelajaran mereka,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau sejak pasukan khas itu ditubuhkan, pihaknya telah membuat pemantauan di sebanyak 24 buah sekolah khususnya berasrama penuh di sekitar Ipoh dan Teluk Intan.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri, melawat ke sekolah-sekolah terlibat terangkan isu ini supaya mereka semua tidak panik atau hilang semangat untuk belajar.

“Untuk ibu bapa pula, kita juga telah menghubungi mereka supaya jangan risau dengan keadaan ini kerana ianya terkawal dan kita sedang mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” jelas beliau.

Kata beliau lagi di peringkat awal ini pasukan khas tersebut akan menumpukan pemantauan di sekolah-sekolah berasrama penuh sebelum pergi ke sekolah-sekolah harian biasa.

Menurut laporan yang baru dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri sebentar tadi, setakat ini jumlah pelajar yang terkena jangkitan ILI telah meningkat kepada 414 pelajar berbanding 343 pelajar pada semalam.

Menurut laporan tersebut 71 pelajar lagi telah dikesan mempunyai genjala ILI iaitu seramai 18 di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, 28 di Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah Ipoh (SRPT) dan 25 pelajar dari Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Teluk Intan.

Laporan tersebut turut memberitahu daripada 34 sampel yang diambil dari sekolah SK Klebang Jaya, STAR, SMART, Kolej Vokasional Slim River dan SRPT, 4 daripadanya telah disahkan positif Influenza A(H3), 1 Influenza B dan 18 daripadanya masih menunggu keputusan.

Pecahan pelajar yang mengalami simptom ILI adalah 3 daripada SK Kelebang Jaya, 114 daripada STAR, 202 daripada SRPT, 13 daripada Kolej Vokasional Slim River dan 82 daripada SMART.