Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menafikan mengeluarkan kenyataan dan infografik bertajuk 'Jumlah Pengangguran Terus Meningkat Dan Tertinggi Dalam Sejarah 2.05 Juta Orang' seperti yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan, DOSM memaklumkan, pihaknya mengeluarkan Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Mac 2020 dan Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Pertama 2020 (ST1 2020) pada 8 Mei 2020 lalu.

Laporan itu memaparkan Statistik Tenaga Buruh, Guna Tenaga dan Pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).

"Laporan itu jelas menyatakan pengangguran pada bulan Mac 2020 berjumlah 610,500 orang berbanding 521,300 orang yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun 2019," kenyataan itu menyebut.

Maklumat keluaran Perangkaan Tenaga Buruh bagi Bulan April 2020 pula akan diterbitkan pada 15 Jun depan.

Bagi maklumat keseluruhan keluaran statistik DOSM yang akan datang, orang ramai boleh merujuk kepada Advance Release Calendar (ARC) di portal DOSM (www.dosm.gov.my).