Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menafikan dakwaan berlakunya sebarang aktiviti pembalakan haram di Hutan Rizab Gunung Ais di Ulu Tembeling.

Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman sebaliknya berkata, tanah yang didakwa berlaku pembalakan haram itu adalah tanah milik kerajaan yang bersempadan dengan kompartmen 222 dan 223, hutan simpan berkenaan.

"Kawasan yang didakwa berlaku pembalakan haram sebenarnya mempunyai lesen, iaitu di kawasan seluas 89 hektar. Ia merupakan kawasan milik kerajaan dan bersempadan dengan kawasan hutan rizab Gunung Ais.

"Jadi, dakwaan berlaku pembalakan haram di kawasan berkenaan adalah tidak benar dan pihak jabatan melalui pejabat hutan daerah telah menjalankan siasatan dan telah diberi kepastian bahawa tidak berlaku pembalakan haram di kawasan itu," katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI di pejabat Perhutanan Negeri di sini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan eksklusif Astro AWANI mengenai dakwaan pembalakan haram di Hutan Rizab Gunung Ais di Ulu Tembeling baru-baru ini.

Ditanya mengenai penemuan longgokan balak yang tidak mempunyai tag rasmi Jabatan Perhutanan, jelasnya, tanah kerajaan tidak memerlukan tag seperti prosedur bagi Hutan Simpan Kekal.

"Kalau hutan simpan kita tag. Tetapi kawasan tanah kerajaan, kita tidak akan tag, dia ada tag balak sahaja, tidak ada 'tagging' daripada jabatan. Kalau tanah kerajaan ia sememangnya untuk ditebang," katanya.

FOTO: Kerakusan manusia musnahkan Sungai Tembeling

Longgokan balak yang ditemui dalam perjalanan wartawan Astro AWANI, Tan Su Lin mendekati kawasan yang didakwa berlaku aktiviti pembalakan haram. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Sentiasa memantau

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan berlaku pembalakan tidak terkawal sehingga menyebabkan Sungai Tembeling makin cetek, sambil memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa memantau semua kawasan hutan simpan kekal.

"Saya berpandangan apabila disebut 'tanpa kawalan' itu adalah tidak tepat. Kalau kawasan pembalakan di Hutan Simpan Kekal kita ada kawalan kemas, kakitangan kita selalu melawat kawasan dan sebagainya," katanya.

BACA: Derita Ulu Tembeling: Sungai kering, pengangkutan utama lumpuh

BACA: Penduduk Kampung Mat Daling bantah pembalakan di kawasan tadahan air

BACA: Perkosa alam semulajadi, Sungai Tembeling jadi mangsa kerakusan manusia

Biarpun begitu, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai sekiranya menjumpai sebarang aktiviti mencurigakan.

"Bagi pihak Jabatan Perhutanan Negeri, kami amat menghargai keprihatinan pihak NGO membangkit isu pembalakan di Ulu Tembeling dan sama-samalah kita berusaha menjaga alam sekitar di kawasan berkenaan.

"Sekiranya ada perkara pihak NGO lebih tahu daripada pihak jabatan, kami minta pihak NGO agar menghubungi pejabat perhutanan negeri dan daerah supaya sama-sama dapat berbincang dan menyiasat sama ada berlaku aktiviti pembalakan haram di kawasan berkenaan," katanya.

BACA: Malaysia berdepan krisis jika gagal lindungi kawasan tadahan air - Pakar

BACA: Sungai Pahang cetek, pengusaha ikan sangkar terjejas

BACA: Detik cemas lahir anak dalam bot

Sebelum ini, Astro AWANI menyiarkan lima siri laporan khas bertajuk "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling".

Laporan itu, antara lain menyingkap keadaan sungai cetek sehingga menjejaskan kehidupan seharian penduduk setempat.

Ia turut meninjau sejauh mana kesan pembalakan dan penerokaan di kawasan tadahan air Ulu Tembeling, yang sepatutnya dilindungi.