Gara-gara menawarkan khidmat rawatan pemasangan pendakap gigi secara tidak sah, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Susilawati, 38, yang sebelum ini merupakan pekerja salun kecantikan dari Indonesia, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial itu didapati menyediakan klinik pergigian swasta dengan memberikan rawatan pendakap gigi kepada Nurul Farahin Rahim, 25.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah pangsapuri beralamat Blok B-1 12 Pangsapuri Peringgit, Jalan Pantai Peringgit Melaka sekitar 3.35 petang 5 September lalu.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nurul Kairiyah Samsudin meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh memberi kesan buruk kepada kesihatan orang awam.

Tertuduh yang diwakili peguam Suhaidi Zakaria bagaimanapun memohon mahkamah memberi hukuman ringan kepada tertuduh dengan mengambil kira tertuduh membuat pengakuan bersalah pada awal proses perbicaraan lagi.

Katanya, tertuduh juga tidak mengetahui bahawa memberi khidmat pendakap gigi tanpa sebarang kelulusan menjadi suatu kesalahan di negara ini.

Bagaimanapun, setelah mendengar rayuan dan hujahan kedua pihak, Hakim Ahmad Sazali berkata beliau memandang serius perkara seumpama ini sebelum memutuskan penjara selama sebulan dan denda RM30,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda kepada tertuduh .